dari-bukit-aman

<strong><em> </em></strong><strong><em> Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur </em></strong>

Oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya jua, kita masih dapat bertemu di ruangan mingguan ini untuk kita mengenali institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan lebih dekat.

Minggu ini, saya ingin berbicara mengenai Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (MPDRM KL), salah satu institusi latihan kebanggaan PDRM yang mengutamakan kualiti pembangunan organisasi sebagai ‘Cradle Of Police Excellence’.

Penubuhan MPDRM KL bermula secara simbolik dengan majlis pecah tanah di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada 7 Januari 1994. Pembinaan maktab ini bermula pada awal 1996 dan mengambil masa tiga tahun di mana pada 31 Januari 1999, ia mula beroperasi dengan 372 perjawatan yang terdiri daripada 90 perjawatan pegawai kanan polis, 233 perjawatan pegawai rendah polis dan konstabel serta 49 perjawatan pegawai awam. Dengan tertubuhnya maktab ini juga, maka wujudlah dasar baru berkonsepkan latihan bersepadu.

Institusi kepolisan ini yang pada awalnya dikenali sebagai Maktab Pegawai Kanan Polis, mengendalikan semua kursus daripada pelbagai jabatan, di bawah pengurusan Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman. Kewujudannya membawa perubahan yang signifikan dalam sistem latihan PDRM, sebelum itu pengajian di peringkat jabatan diurus oleh jabatan masing-masing di beberapa lokasi berlainan. Kini, pengurusan pembelajaran secara bersepadu yang lebih tersusun, terancang dan terarah bagi pegawai kanan polis, dilaksanakan sepenuhnya dengan tertubuhnya empat pusat pengajian dan sebuah pusat penyelidikan di Maktab PDRM Kuala Lumpur iaitu :-

i. Pusat Pengajian Sains Pengurusan

ii. Pusat Pengajian Sains Pendakwaan dan Penyiasatan

iii. Pusat Pengajian Sains Perisikan dan Kajian Strategik

iv. Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana dan

v. Pusat Penyelidikan Sumber dan Kajian Kurikulum

MPDRM KL dilengkapi pelbagai infrastruktur moden dan kemudahan akademik bagi menyokong proses pembelajaran dan latihan, selari dengan visinya untuk Menjadi Institusi Unggul Pembelajaran Kepolisan Bertaraf Dunia dan misinya Memberi Pengajaran dan Persekitaran Pembelajaran Yang Berkualiti Secara Berterusan Dengan Memastikan Kompentensi dan Profesionalisme Melalui Transformasi. Maka lahirlah tema yang didokongnya iaitu Menjana Kecemerlangan Dengan Kebanggaan.

Secara khususnya, objektif MPDRM KL:

i. Memperkasakan ilmu pengetahuan dan ketahanan rohaniah pegawai kanan polis

ii. Meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan PDRM

iii. Memperkasakan kepakaran, kecekapan dan keberkesanan tenaga pengajar institusi latihan dan pembelajaran PDRM

iv. Menambah nilai kaedah latihan dan pembelajaran melalui penyelidikan berterusan

v. Membentuk dan memperkasakan kepemimpinan kepolisan yang dinamik dan berkesan dan

vi. Memperluaskan pencapaian kolaborasi pembelajaran dengan pelbagai organisasi dalam dan luar negara.

Untuk makluman pembaca, pusat pengajian yang wujud di MPDRM KL ini menawarkan pelbagai kursus yang bertujuan melahirkan warga PDRM yang dinamik, berpengetahuan dan berkemampuan tinggi di dalam bidang tugas masing-masing.

A. Pusat Pengajian Sains Pengurusan

Pusat Pengajian Sains Pengurusan adalah kesinambungan daripada Sekolah Pembangunan Pengurusan sebelum berada di bawah kendalian Maktab Polis Kuala Kubu Baharu (KKB), Selangor. Apabila PDRM melaksanakan konsep kesepaduan di dalam sistem pembelajaran pasukan dan memindahkan Sekolah Pembangunan Pengurusan ke Maktab PDRM Kuala Lumpur, maka ia kini dikenali sebagai Pusat Pengajian Sains Pengurusan. Secara amnya, pusat pengajian ini mengendalikan tiga jenis pengajian iaitu Pengajian Sains Pengurusan, Pengajian Sains Pembangunan Pengurusan dan Pengajian Sains Tugas Am & Trafik.

Selain itu, kursus di peringkat universiti juga ada dilaksanakan iaitu Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) yang dulunya dikenali sebagai Diploma Pengajian Kepolisan (DPS) dan Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) yang dijalankan secara usaha sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kursus Perintah Tinggi Polis Antarabangsa adalah kursus signifikan yang dijalankan oleh pusat ini yang membabitkan penyertaan pegawai-pegawai kanan polis antarabangsa.

B. Pusat Pengajian Sains Penyiasatan Dan Pendakwaan

Maktab Siasatan Jenayah PDRM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur diwujudkan pada 1969 yang pada ketika itu dikenali sebagai Sekolah Latihan Detektif dan bertanggungjawab melatih anggota polis yang terpilih sebagai detektif jenayah. Fungsi sekolah ini diperluaskan pada 1975 sebagai pusat latihan bagi penolong pegawai penyiasat dan seterusnya pada 1979 dilengkapkan dengan latihan pegawai penyiasat bagi pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan ke atas. Pada 9 Julai 1986 Sekolah Latihan Detektif dinaik taraf menjadi Maktab Siasatan Jenayah yang bertanggungjawab melaksanakan latihan bagi Jabatan Siasatan Jenayah. Selaras dengan dasar latihan yang baru berkonsepkan latihan bersepadu, pada 1999, Maktab Siasatan Jenayah dipindahkan ke Maktab Pegawai Kanan Polis Kuala Lumpur dan mula dikenali sebagai Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan.

Pusat ini mengendalikan lima jenis pengajian iaitu Pengajian Perundangan dan Pendakwaan, Pengajian Siasatan Jenayah, Pengajian Siasatan Jenayah Komersial, Pengajian Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengajian Sains Forensik.

Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan menjalankan kursus berkaitan pengurusan dan penyiasatan jenayah kontemporari, jenayah komersial dan jenayah narkotik, meliputi pengurusan kertas siasatan, tempat kejadian, barang kes, soal siasat, undang-undang baru yang dikuatkuasakan dan pendekatan serta penggunaan teknologi moden di dalam penyiasatan khususnya berkaitan sains forensik dan medico legal. Pusat ini juga menjalankan kursus di peringkat diploma melalui usaha sama dengan Universiti Malaya dalam pelaksanaan Program Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS) yang dulunya dikenali sebagai Program Diploma Sains Siasatan (DSS).

C. Pusat Pengajian Sains Perisikan Dan Kajian Strategik

Pusat Pengajian Sains Perisikan dan Kajian Strategik sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Latihan Cawangan Khas (SLCK) yang pada mulanya beroperasi di sebuah rumah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 1952. Sekolah yang diinisiatifkan Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Gerald Templer dan Pesuruhjaya Polis, Kolonel Arthur E Young ini ditubuhkan bagi tujuan meningkatkan kecekapan polis dalam bidang perisikan. Sekolah ini memberikan perkhidmatan bukan saja kepada pegawai polis, tetapi juga kepada tentera dan agensi kerajaan yang lain. Ia juga menerima peserta kursus daripada luar negara meliputi negara Asia Tenggara dan negara jajahan British seperti Australia, Hong Kong, Pakistan, Sri Lanka dan Fiji. Perkembangan positif ini membawa kepada perpindahan SLCK ke Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1962.

Pada 1999, sebagai menyambut pembaharuan di dalam pembelajaran kepolisan, SLCK dipindahkan ke Maktab Pegawai Kanan Polis Kuala Lumpur dan ditukar nama kepada Pusat Pengajian Sains Perisikan dan Kajian Strategik. Pusat pengajian ini melaksanakan kursus yang berhubung kait dengan pengurusan perisikan keselamatan negara dan keselamatan orang kenamaan.

D. Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis Dan Bencana

Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana wujud dengan tertubuhnya Maktab Pegawai Kanan Polis pada 1999, selari dengan keperluan untuk melaksanakan kursus berhubung insiden bencana dan kejadian krisis yang memerlukan kepakaran tertentu seperti menangani kes tebusan, situasi hazardous yang membabitkan bahan kimia, bahan letupan berbahaya, sinaran dan radioaktif serta nuklear.

Sebahagian daripada kursus yang dijalankan pusat ini menggunakan khidmat kepakaran dari luar negara seperti Federal Bureau of Investigation (FBI), Royal Canadian Mounted Police dan Australian Federal Police (AFP). Sehubungan itu juga, fungsi pusat pengajian ini diperluaskan bagi mengurus dan menyelaras kursus di peringkat antarabangsa yang mana peserta kursus terdiri daripada pegawai polis, tentera atau pegawai pakar tertentu daripada negara Asia Tenggara. Secara tidak langsung peranan ini menjadikan Maktab Pegawai Kanan Polis Kuala Lumpur sebagai hab bagi latihan polis di peringkat antarabangsa, terutama bagi kawasan rantau Asia, khususnya berhubung dengan pembelajaran mengenai kemajuan dan teknologi terkini dalam bidang kepolisan peringkat global.

MPDRM berjaya mendukung tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang dalam memacu PDRM ke arah mencapai standard World Class Policing. Malah saya bangga untuk berkongsi di sini pusat latihan ini mendapat pengiktirafan yang membanggakan, antaranya anugerah Persijilan ISO 9001 : 2008 (Standard Malaysia (SM), UKAS (United Kingdom) dan Confrac (France), Persijilan ISO 9001 : 2008 MS ISO 9001 : 2008 BS EN ISO 9001 : 2008, Persijilan di bawah Standard ISO 9001 : 2008 berstatus akreditasi Standard Malaysia (SM) dan UKAS (United Kingdom) pada 4 April 2016 sehingga 14 September 2018. Syabas!

Penulis Ketua Polis Negara

Disiarkan pada: July 8, 2017 @ 5:39am
d