dialoka

<strong><em> Apabila jalan banyak sangat lampu isyarat</em></strong>

Oleh Ahmad Salim Bachok

“Bayangkan 5.5 kilometer Datuk, tujuh trafik light. Bangang punyo town planner (perancang bandar). Belajar kek Amerika tapi...” tergelak besar saya menonton rungutan dan bebelan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, di YouTube beberapa hari lalu.

Rupa-rupanya video berkenaan sudah lama di YouTube, iaitu sejak Disember tahun lalu. Cuma saya saja yang agak ketinggalan menontonnya. Terus terang, saya sebenarnya adalah antara peminat tegar tokoh politik yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sejak Mac 2004 itu.

Pemimpin berusia 61 tahun yang mempunyai ilmu ekonomi hebat kerana pernah bertugas di pelbagai syarikat dan agensi terkemuka ini menjadikan beliau juga mempunyai buah fikiran dan idea yang amat hebat. Bermula sebagai pelatih di Bank Negara Malaysia, Mohamad kemudian bertugas di Malayan Banking dan Arab Malaysian Merchant Bank, sebelum menjadi Pengurus Besar Bank Bumiputera di London.

Beliau kemudian meninggalkan dunia kewangan untuk menyertai sektor korporat dengan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage, sebelum menjadi Pengarah Urusan Cycle & Carriage Bintang Berhad. Mohamad meninggalkan jawatan lumayannya di syarikat pengedar kenderaan mewah Mercedes Benz pada 2004 untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Apa pun tulisan saya ini bukanlah mengenai diri menteri besar yang sangat saya minati ini, tetapi kerana saya banyak bersetuju dengan banyak pendapat dan buah fikirannya yang dilontar beliau dalam puluhan ceramah, forum, temubual dan tulisan yang disampaikannya sejak beliau menjadi ketua pentadbir Negeri Sembilan.

Contoh terbaik adalah rasa tidak puas hatinya terhadap kesesakan di jalan yang menghubungkan Lebuhraya Utara-Selantan dan Lebuhraya Lekas di Senawang di atas tadi, hingga terkeluar perkataan ‘bangang’ yang ditujukan khusus kepada mereka yang bertanggungjawab merancang dan mereka bentuk laluan berkenaan.

Saya yang sering juga menggunakan jalan berkenaan turut berasa sakit hati setiap kali melaluinya, apatah lagi kepada penduduk sekitar Senawang dan Seremban yang terpaksa menempuhnya setiap hari. Saya angkat tabik kepada kesabaran tinggi mereka ini. Bagi saya, kesesakan di laluan berkenaan lebih teruk berbanding yang berlaku sama ada di MRR2 atau Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Saya melihat ini adalah antara kelemahan ketara segelintir perancang bandar di negara kita. Mereka bagaikan gagal memikirkan keperluan jangka panjang perancangan masa depan bagi sesuatu pembangunan, terutama hal yang berkaitan jalan raya, laluan atau lorong terutama di kawasan bandar. Mungkin mereka hanya mampu meramal keperluan pembangunan untuk tempoh 10 atau paling lama 20 tahun saja.

Mereka patut belajar dan mengambil iktibar daripada perancang bandar serta arkitek pembangunan di kota raya terkenal dunia seperti di London, Melbourne malah Singapura yang mampu menjadikan kota raya mereka sebuah tempat untuk kediaman dan bekerja yang amat selesa dan menyenangkan bagi tempoh berabad-abad, malah berkurun lamanya.

Saya beri satu contoh. Sejak tahun 1980-an lagi, Jalan Pahang di ibu negara yang melalui hadapan Hospital Tawakkal tidak pernah berhenti dengan pelbagai projek membaiki, melebar dan menaik taraf jalan berkenaan. Seingat saya, sejak pengguna jalan itu dikenakan tol mulai 1 Ogos 1995 hinggalah tol berkenaan dihapus pada 13 Ogos 2004, laluan selepas Bulatan Pahang itu bagaikan mimpi ngeri bagi sebahagian besar penghuni ibu kota.

Malangnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini laluan yang sama sekali lagi menjadi mangsa kepada kehebatan ‘pandangan jauh’ pereka dan perancang bandar kita dengan adanya projek sambungan kepada Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) di situ.

Dengan begitu pesatnya pembangunan dan pertambahan penduduk di sekitar Setapak, Wangsa Maju, Melawati dan Ulu Klang, saya menjangka kesesakan di hadapan Hospital Tawakkal akan menjadi bertambah teruk untuk beberapa tahun lagi.

Projek yang dilakukan secara berterusan dan terlalu lama di sesuatu kawasan boleh memberi kesan negatif kepada penduduk berhampiran dan mereka yang terpaksa melaluinya setiap hari. Habuk, debu, bunyi bising, rasa marah dan stres akibat kesesakan adalah punya sebenar pelbagai penyakit yang perlu dielakkan.

Itu belum lagi dikira penurunan produktiviti, pembuangan masa di dalam kenderaan serta pembaziran petrol kenderaan akibat kesesakan jalan raya yang berterusan selama bertahun-tahun.

Maka kita berharap sangat kepada pakar perancang bandar kita, walau di mana juga tuan-tuan berada, agar dapat melihat permasalahan ini dengan bijak dan profesional, supaya tidak lagi mendapat gelaran ‘bangang’ seperti yang dikatakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan tadi.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 4:58am
d