dialoka

<strong><em> Bermain mercun bagaikan sudah dirasuk hantu</em></strong>

Oleh Ahmad Salim Bachok

Setiap tahun, masuk saja Ramadan, maka kes kecederaan membabitkan mercun dan bunga api akan meningkat dengan ketara sekali. Setiap hari akan ada saja berita dan gambar kanak-kanak yang putus jari, telinga rabit, pecah batang hidung, mulut separuh hancur serta ada mata yang menjadi buta.

Selain itu, juga dilaporkan kemusnahan harta benda akibat kebakaran kediaman atau kebun dan ladang. Semua kejadian yang biasanya menyebabkan kecacatan kekal ini berpunca daripada keseronokan dan keghairahan membakar mercun serta bunga api oleh kanak-kanak yang kebanyakannya tidak diawasi oleh ibu bapa mereka.

Malangnya kini budaya sia-sia dan membazir ini turut menjadi kegilaan mereka yang lebih berumur. Buktinya, semakin ramai remaja dan orang dewasa yang berusia hampir setengah abad juga terpaksa berhari raya tanpa beberapa jari tangan dan muka berbalut gara-gara letupan mercun yang dibakar oleh mereka sendiri.

Malah beberapa hari lalu, seorang warga emas mungkin berjaya mencipta rekod di dalam Malaysia Book of Record sebagai manusia paling tua menjadi mangsa mercun. Awang Ali, 77, kudung tiga jari tangan kirinya selepas mercun bola yang digunakan untuk menghalau tupai di kebunnya meletup di tapak tangan sebelum sempat dia melemparnya.

“Saya dapat dua biji mercun bola dari rakan dan terus bawa ke kebun...selepas membaling mercun pertama, didapati letupannya memang dapat menakutkan tupai di sekitar kebun. Tetapi malangnya ketika menyalakan sumbu mercun kedua ia terus meletup tanpa sempat saya membalingnya,” kata Awang dari atas katil hospital.

Melalui pengamatan, saya mendapati kes kecederaan parah akibat mercun pada Ramadan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun-tahun terdahulu. Berdasarkan laporan akhbar, sehingga 10 hari pertama Ramadan saja sekitar 20 mangsa yang kebanyakannya kanak-kanak telah kehilangan berpuluh-puluh batang jari mereka akibat mercun bola dan mercun buatan sendiri.

Rasanya masih belum terlambat untuk kita, terutamanya pihak berkuasa berkaitan seperti polis dan pemimpin masyarakat untuk menghentikan secara tuntas tragedi pilu putus jari dan mata menjadi buta menjelang Aidilfitri ini. Satu kempen secara besar-besaran dan menyeluruh yang disertakan penguatkuasaan tegas undang-undang terhadap pesalah mercun perlu dibuat.

Bermain mercun bukan saja membahayakan, tetapi juga adalah suatu pembaziran yang amat nyata. Seperti juga rokok yang tidak saja membahayakan si penghisap, tetapi juga orang lain di sekelilingnya. Bahaya mercun jauh lebih besar lagi. Bukan saja boleh menyebabkan buta dan kudung jari, tetapi boleh menjadi punca kebakaran harta benda.

Malah bahan kimia yang digunakan untuk membuat mercun yang terdiri daripada campuran kalium nitrat, kuprum oksida, barium klorat, potasium, sulfur, serbuk aluminium dan arsenik itu adalah amat bahaya dan boleh menjejaskan kesihatan mereka yang bermain dengannya, selain boleh memudaratkan mereka yang menyedut asapnya.

Bahan campuran ini bukan saja mudah terbakar, tetapi juga adalah bahan toksik yang boleh memusnahkan sel darah merah dan merosakkan buah pinggang dan seterusnya menyebabkan kematian.

Bunyi dentuman mercun juga, terutama pada malam hari, boleh mengganggu ketenteraman penduduk terutama bayi yang sedang tidur atau warga tua yang uzur dan perlu beristirahat.

Apa pun, yang penting bermain mercun ini bukan budaya Melayu. Malah, agama Islam turut mengharamkan mercun ini atas faktor kemudaratan dan bahayanya terhadap manusia, selain sememangnya ia adalah suatu pembaziran.

Di segi sejarah, mercun yang dicipta pada kurun ketujuh di China ketika pemerintahan dinasti Tang ini pada asalnya digunakan untuk memeriahkan suasana pelbagai perayaan pada zaman itu. Selain itu, masyarakat di negara berkenaan turut membakar mercun bertujuan untuk menghalau hantu atau roh jahat daripada mengganggu ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun pada hari ini, sebahagian besar pemerintah di beberapa daerah utama di China telah mengharamkan sama sekali pembakaran mercun ini. Pengharaman dibuat atas faktor keselamatan kerana mercun menyebabkan begitu banyak kematian dan kebakaran di negara berkenaan beberapa tahun lalu.

Jadi, sedangkan negara pencipta mercun pun sudah mengharamkan pembakaran bahan ini, mengapa kita yang tiada kena-mengena dengan sejarah dan budaya mercun ini begitu seronok membiarkan anak kita saling membakar dan melempar mercun bola sesama sendiri?

Pada waktu sebahagian daripada kita khusyuk mengerjakan ibadat Tarawih di surau dan masjid, sebahagian daripada kita pula begitu bermurah hati sanggup berbelanja besar membeli mercun serta bunga api agar anak-anak kita dapat beriang-ria pada sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.

Bak kata seorang rakan saya, kalau masyarakat Cina membakar mercun untuk menghalau hantu, orang kita pula membakar mercun bagaikan seperti dirasuk hantu!

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 1:28am
d