dialoka

Seronok sambut hari raya ketika cuti panjang

Oleh Ahmad Salim Bachok

Insya-Allah seluruh umat Islam di negara ini akan menyambut Aidilfitri Ahad ini. Seperti biasa, pada beberapa hari sebelum 1 Syawal, maka gelombang pergerakan kenderaan terutama kereta yang membawa pulang ahli keluarga untuk beraya di kampung halaman menjadi satu fenomena menarik dan unik bagi masyarakat di negara kita.

Kesesakan di jalan raya dan lebuh raya akibat pulang beraya kini bukan perkara luar biasa. Malah, suasana jalan sesak, terutama yang menuju ke pantai timur dan utara Semenanjung kini bukan saja terjadi pada sambutan Aidilfitri atau Aidiladha, tetapi juga pada sambutan hari-hari perayaan kaum lain seperti Tahun Baru Cina, Krismas atau Deepavali.

Yang menariknya, ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina, Krismas atau Deepavali, kebanyakan kenderaan yang memenuhi lebuh raya bergerak menuju ke kampung halaman masing-masing bukan saja dinaiki oleh etnik Cina atau India, tetapi dipenuhi juga oleh orang Melayu yang turut mengambil kesempatan bercuti panjang sempena sambutan perayaan kaum lain.

Begitu juga, ketika musim perayaan umat Islam, maka orang Cina dan India turut ikut bercuti panjang. Keadaan ini menjadikan jalan dan lebuh raya, terutama Lebuh Raya Utara-Selatan sentiasa penuh sesak dengan kenderaan kerana semua penduduknya pulang bercuti di kampung halaman masing-masing, sama ada untuk menyambut perayaan atau hanya mahu menghabiskan cuti.

Buat mereka yang sudah tiba di destinasi masing-masing, saya ingin mengucapkan tahniah kerana sudah selamat sampai. Bagi yang masih bertugas dan bakal pulang bersama keluarga masing-masing sama ada hari ini atau esok, berhati-hatilah di jalan raya.

Pastikan kenderaan di dalam keadaan baik, terutama brek dan tayar. Memandulah dengan tenang dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduan di jalan raya. Kalau terasa mengantuk atau letih, berhentilah berehat sebentar di kawasan rehat dan rawat yang selamat.

Memandulah secara berhemah serta sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan. Memandu dalam keadaan tubuh yang cergas dan minda yang cerdas mampu memberikan tahap keselamatan maksimum terhadap pemanduan kita.

Ingatlah keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarga di dalam kenderaan yang dipandu bergantung sepenuhnya pada kita yang memandu. Ingat insan tersayang, memandulah dengan berhemah dan sentiasa berwaspada ketika di jalan raya.

Tahun ini, sambutan Aidilfitri dijangka akan menjadi lebih meriah kerana besar ibu bapa dapat merayakannya bersama anak-anak yang mendapat cuti panjang persekolahan selama 10 hari iaitu mulai hari ini hingga 2 Julai depan. Bagi atuk dan nenek di kampung pula, cuti raya yang panjang bermakna dapatlah mereka bersama cucu, anak dan menantu lebih lama dan meriah lagi.

Selain itu, lebih ramai juga saudara-mara, ibu bapa saudara, sepupu serta ipar duai yang mungkin sudah lama tidak bersua muka, maka pada Aidilfitri tahun ini akan dapat bertemu untuk saling bermaafan dan memperkukuh tali persaudaraan sesama ahli keluarga.

Sempena hari raya ini juga, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada semua pembaca setia Harian Metro, tidak kira walau di mana anda berada. Ucapan hari raya juga saya tujukan kepada semua saudara-mara, rakan-rakan dan sesiapa saja yang mengenali diri saya, mohon maaf zahir dan batin.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 7:17am
d