dialoka

<strong><em> Lebuh raya sesak tauke tol senyum lebar</em></strong>

Oleh Ahmad Salim Bachok

Pejam celik pejam celik, Syawal sudah menghampiri minggu ketiganya pada minggu depan. Maka pada setiap hujung minggu akan ada saja pelbagai pihak, sama ada persatuan, pertubuhan atau syarikat korporat mahupun individu menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri.

Jika syarikat korporat atau pertubuhan tertentu mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri mereka pada hari bekerja di dewan hotel terkemuka, orang perseorangan pula akan mengadakannya secara sederhana di rumah atau dewan tertentu pada hujung minggu.

Maka sebagai pengamal media veteran yang mempunyai ramai kenalan daripada pelbagai syarikat, pertubuhan, agensi, jabatan serta kementerian, saya turut menerima banyak undangan rumah terbuka Aidilfitri yang kebanyakannya diadakan pada sebelah petang atau malam.

Pada hujung minggu pula, terutama Sabtu, saya perhatikan begitu banyak sekali majlis rumah terbuka yang diadakan di kediaman masing-masing. Hampir setiap jalan dan lorong akan ada khemah yang dipasang sebagai tanda bahawa tuan rumah berkenaan sedang mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Seorang teman memberitahu, kerana banyaknya kediaman yang menganjurkan majlis sebegini dan begitu ramai pula sanak-saudara, rakan dan kenalan yang datang menghadirinya, maka banyak juga jalan atau lorong tertentu di beberapa taman perumahan menjadi sesak dan tersekat kerana begitu banyak kenderaan yang diletakkan di kiri kanan jalan.

Bagaimanapun kesesakan jalan akibat majlis rumah terbuka Aidilfitri ini tidaklah seteruk kesesakan jalan raya ketika berjuta-juta penghuni kota, terutama warga beberapa bandar besar seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang hendak pulang menyambut Syawal pada beberapa hari sebelum hari raya yang lalu.

Kesesakan terlampau ini dikatakan berlaku di sepanjang lebuh raya menuju pantai timur dan utara Semenanjung, terutama di sepanjang Lebuh Raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur. Seorang jiran saya menghantar pesanan di grup WhatsApps kejiranan kami mendakwa terpaksa mengharungi perjalanan yang sangat meletihkan hampir 20 jam untuk sampai di kampung halamannya di Kelantan.

Menurut beliau, dia bersama seisi keluarganya memulakan perjalanan dengan berkereta dari Shah Alam, Selangor sekitar jam 3 petang Jumaat, 23 Jun yang lalu dan hanya tiba di kampung halamannya di Kota Bharu pada jam 11.30 pagi keesokan hari ini.

Biasanya perjalanan pulang ke kampungnya hanya memakan masa tidak lebih tujuh jam, iaitu termasuk berhenti solat, makan dan berehat beberapa kali di sepanjang perjalanan. Malah katanya, untuk melepasi tol Karak dari tol Gombak saja mengambil masa lebih empat jam!

Seorang lagi rakan yang mahu menyambut Aidilfitri di Gurun, Kedah turut mengalami nasib hampir serupa. Dia yang tinggal di Rawang terpaksa memandu lebih sembilan jam untuk sampai ke destinasinya. Rakan yang memang terkenal seorang kaki pecut serta memiliki berpuluh saman trafik ini berbakul-bakul menyumpah kerana biasanya dia hanya mengambil masa tidak sampai empat jam memandu dari Rawang ke Gurun.

Memang benar bahawa jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya pada sepanjang musim perayaan yang lalu begitu banyak sekali. Bayangkan, kira-kira tiga juta kenderaan, terutama kereta, dikatakan memasuki Kelantan pada hari raya kali ini.

Ini sudah pasti menyebabkan Lebuh Raya Karak yang sempit dan hanya mempunyai dua lorong itu menjadi amat padat dan sesak. Maka tidak hairanlah untuk jarak destinasi yang tidak sampai 50 kilometer dari tol Gombak ke tol Karak yang biasanya hanya mengambil masa setengah jam akan menjadi hingga lima jam!

Apa pun juga, di celah-celah rungutan dan maki hamun yang turut menyebabkan stres dan sakit kepala ratusan ribu pengguna jalan raya yang mahu berhari raya bersama kaum keluarga di kampung halaman, tentunya pemilik konsesi lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan sepanjang 772 kilometer yang merentas dari Johor Bahru hingga ke Bukit Kayu Hitam dan LPT2 (sejauh 184 kilometer) akan tersenyum lebar.

Bagi pemilik lebuh raya, tentunya lebih banyak kenderaan menggunakan lebuh raya adalah lebih baik kerana lebih banyak kutipan tol boleh dibuat. Begitu juga dengan peniaga di hentian rehat dan rawat pada sepanjang lebuh raya, lebih banyak kenderan menggunakan lebuh raya bermakna lebih ramai pelanggan berhenti berehat dan makan minum di gerai mereka.

Malah pemilik stesen minyak pun ikut meraih sedikit sebanyak durian runtuh apabila berjuta-juta kenderaan dipandu di lebuh raya ini.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 5:54am
d