dialoka

Apabila kera tidak tahu menghargai bunga

Oleh Ahmad Salim Bachok

Pelancaran sistem MRT fasa kedua SBK (Sungai Buloh-Kajang) yang dilakukan oleh Perdana Menteri kita pada 17 Julai lalu tentunya memberi impak besar kepada banyak pihak, terutamanya kepada mereka yang tinggal dan bekerja di sekitar laluan sistem pengangkutan awam canggih itu.

Projek gergasi yang menelan belanja sekitar RM21 bilion itu sesungguhnya pasti akan mengubah landskap pengangkutan awam negara kita secara menyeluruh. Selain memudahkan pergerakan penduduk, projek ini tentunya memberi impak besar terhadap tahap sosioekonomi rakyat, khususnya kepada mereka yang tinggal dan mencari rezeki di kawasan sekitar laluannya.

Selain mampu mengembangkan kegiatan ekonomi, terutama di kawasan pinggir bandar seperti di sekitar Sungai Buloh dan Kajang, harga hartanah, terutama unit kediaman dan premis perniagaan akan mendapat kesan segera yang positif.

Berdasarkan anggaran kapasiti maksimum 400,000 penumpang sehari, bermakna MRT fasa dua ini mampu mengurangkan lebih sejuta kenderaan, terutama kereta persendirian, daripada melalui jalan raya di sekitar ibu negara setiap hari. Dengan harga tambangnya yang dianggap sangat berpatutan itu, sistem pengangkutan yang moden dan cekap ini pasti mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Bagaimanapun kita agak kecewa apabila ada pengguna pengangkutan ini yang bagaikan tidak tahu menghargai perkhidmatan untuk rakyat yang boleh dianggap bertaraf dunia ini. Hanya sehari selepas pelancarannya pada Isnin 17 Julai lalu, Mass Rapid Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), iaitu pengendali sistem pengangkutan ini meluahkan rasa kecewanya apabila mengesan begitu banyak kerosakan sama ada di dalam gerabak MRT berkenaan atau di stesennya yang dilakukan oleh penumpang beberapa hari selepas pelancarannya.

Kerosakan yang boleh dikategorikan sebagai vandalisme ini memang amat dikesali. Kita mampu memiliki kemudahan bertaraf dunia, tetapi tahap pemikiran segelintir rakyat kita masih di takuk dunia ketiga. Sikap tidak tahu menghargai dan memelihara kemudahan awam yang disediakan khas untuk mereka sendiri itu sesungguhnya amat mengecewakan.

Vandalisme, di segi maknanya bermaksud tindakan sengaja merosak atau memusnahkan harta persendirian atau awam. Ia berasal daripada perkataan Vandal, iaitu sekumpulan suku kaum Jerman pada abad keempat di Eropah yang dikatakan amat gemar merosak dan memusnahkan harta benda bangsa lain pada zamannya.

Dalam kes yang menimpa MRT Corp, antara perbuatan vandalisme atau khianat yang dilakukan penumpangnya sepanjang beberapa hari ia beroperasi pada minggu lalu ialah kerosakan pada bangku, dinding dan tandas di beberapa stesen MRT.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Komunikasi Strategik MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, pihaknya akan bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan pelbagai kerosakan itu. Dengan bantuan lebih 6,000 CCTV yang dipasang di setiap stesen, pihaknya kini sedang mengenal pasti suspek yang terlibat.

Menurut Najmuddin, tindakan terhadap pelaku vandalisme terbabit akan dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Keseksaan di mana pesalahnya boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan. Tindakan ini amat wajar dan semoga ia dapat menjadi teladan pihak atau individu lain agar tidak merosakkan harta benda awam sewenang-wenangnya.

Sesungguhnya, ketamadunan, kemajuan dan kehebatan sesebuah negara itu banyak terletak pada tingginya hati budi rakyat yang mendiami negara berkenaan. Disiplin yang tinggi, menepati masa, menepati janji, menghormati hak orang lain dan mengutamakan kebersihan diri serta persekitaran adalah antara ciri-ciri rakyat di negara bertaraf dunia.

Bagaimanapun, tindakan kurang berakal segelintir pengguna merosakkan kemudahan yang sebenarnya disediakan untuk mereka itu adalah umpama kera mendapat bunga. Memang dasar kera, sejenis haiwan yang kasar walaupun kadang-kadang nampak cerdik, memang tidak tahu menghargai bunga. Walau secantik mana atau sewangi mana sekalipun bunga yang dihulurkan kepadanya, pastikan akan dikoyak dan dirosakkannya.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 6:49am
d