pen-emas

<strong><em> Artis kena transformasi diri sendiri </em></strong>

Oleh Adam Salleh

Ada tanya token, ada yang kata ‘shooting’ dan tidak kurang menarik diri pada saat akhir. Begitulah gelagat seorang dua artis ketika diundang ke Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri Dengan Penggiat Seni di Dewan Bankuet Seri Perdana, minggu lalu. Bayangkan jika undangan itu diberi kepada ketua jabatan usah mimpilah boleh mengelak.

Untungnya artis kita, mereka boleh memberi pelbagai alasan untuk tidak menyertai dialog itu sekalipun tuan rumah sudah layangkan kad undangan dan bayangkan jika di negara lain? Sebagaimana dikaitkan di kolum ini minggu lalu, emosi artis kita itu beragam dan tidak menentu, samalah sepertimana terjadinya insiden Mat Over ‘sepuk’ produser David Teo.

Siapa pun tidak menjangka insiden itu boleh terjadi di hadapan dan di kediaman rasmi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak. Harus diingat jiwa insan seni itu halus sebab itulah mereka mudah menjiwai watak atau merasai nukilan lirik dititipkan. Jika tidak manakan boleh P Ramlee (Tan Sri) dikurnia dialog “untuk cantik perlu mandi air bahtera Nabi Noh.”

Justeru, untuk salahkan Sulaiman Yassin (Mat Over), David Teo dan Datuk Rosyam Nor selaku moderator ikutlah detik hati kita sendiri kerana sebagai insan seni mereka mempunyai cita rasa unik bagi menterjemahkan emosi masing-masing. Samalah seperti dalam filem dan drama, mereka bertumbuk sakan tetapi di luar lokasi boleh berbaik semula.

Lebih 300 penggiat seni dari ‘Baby Boom’ ke ‘Gen Z, hadir pada sesi dialog itu matlamat penganjurannya baik untuk penggiat seni memahami hala tuju TN50 agar visi dan inspirasi dengan pemerintah selari. Cuma ‘input’ yang diharapkan daripada golongan itu tidak menyeluruh kerana majoriti berkongsi dilema lama cuma diberi nafas baru untuk dipertimbangkan PM.

Untuk melaksanakan apa jua transformasi perlu ada kesungguhan. Tanpa kesungguhan dan strategi penjenamaan berkesan tidak mungkin artis Korea Selatan muncul gergasi baru dalam dunia hiburan global. Sebelum fenomena K-Pop dan Winter Sonata sejak 15 tahun lalu, tiada siapa pun peduli persada seni Korea berbanding Jepun, China, Bollywood dan Hollywood.

Transformasi beginilah yang diharap dapat dilaksanakan dalam dunia hiburan tempatan kerana sudah tiba masanya industri kreatif diperdagangkan bagi menjenamakan Malaysia bukan setakat tontotan rakyat tempatan. Malangnya nak memasuki pasaran Indonesia pun payah, apatah lagi di pasaran negara lain dan inilah seharusnya dibuktikan oleh penggiat seni tanah air.

Dalam era mencabar survival kita berubah, bukan saja penggiat seni akhbar pun sama. Pujian diberikan PM kepada penyanyi Shila Amzah dan Datuk Shake yang berani mentransformasi diri untuk mencipta populariti di luar negara seharusnya menjadi inspirasi pada penggiat seni lain. Tidak terkecuali Harith Iskandar yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Umpamanya Shila Amzah, sebagai penyanyi bertudung jika dinilai mata kasar ‘sampai ke tualah’ dia mengakhiri bidang nyanyian, tetapi bersandarkan bakat seni luar biasa dimiliki itu kehadiran Shila di China diterima baik oleh peminat di republik itu. Bagi mereka yang memperkecilkan Shila sepatutnya berterima kasih kerana ketika berlakunya ketegangan segelintir rakyat China terhadap negara kita berikutan tragedi kehilangan pesawat MH370, cuma bermodalkan suara kehadiran Shila di republik itu mengendurkan suasana.

Selaku penganjur, Yayasan Perpaduan Ummah sememangnya menanti kehadiran Shila Amzah yang terikat dengan pengurusannya di Hong Kong. Kesempatan dialog itu, digunakan ND Lala bagaimana mahu menterjemahkan muzik Malaysia kerana selama mengiringi anak gadisnya di China, Hong Kong dan Taiwan, ramai juga bertanyakan padanya corak muzik Malaysia.

Sama ada Shila Amzah, Shake, Yuna, Harith dan tidak terkecuali Aishah, Ashraf Sinclair, Keith Foo dan Datuk Siti Nurhaliza mereka adalah insan seni yang berjaya menjenamakan Malaysia. Di sisi lain transformasi dalam dunia hiburan itu sentiasa berlaku dan berubah mengikut zaman dan keadaan. Penggiat seni seharusnya peka, intelektual dan sensitif dengan situasi semasa bagi meneruskan survival mereka jika tidak mahu ‘dapur tidak berasap’ atau tercicir sebagai pemain industri kerana perubahan itu datang tidak pernah kita jangkakan.

Dek tidak pekalah ramai seniman dan seniwati kita ‘terkapai-kapai’ di era kemuncak perfileman Melayu di Singapura dulu apabila Malay Film Production (MFP) milik Shaw Brothers dan Cathay Keris Filem melakukan tranformasi mengejut dengan menutup operasi kedua-dua studio besar mereka yang sekian lama menjadi ‘periuk nasi’ artis kita ketika itu.

Transformasi dilakukan Shaw Brothers cukup cantik. Sesudah sekian lama memerah keringat artis Melayu (disediakan kuarters) dan apabila mendapati filem Melayu sudah tidak membawa untung, mereka beralih ke Hong Kong. Untuk salahkah tauke ini tidak boleh juga kerana otak mereka adalah otak bisnes mana mungkin mahu rugi.

Seandainya artis dapat menghidu transformasi bakal berlaku dalam bidang mereka seperti terpisahnya Singapura dari Malaysia, alangkah baik mereka membeli aset atau hartanah demi masa depan mereka kerana pendapatan dimiliki ketika itu boleh dikategorikan golongan berada umpamanya P Ramlee (Tan Sri) sendiri pernah dibayar RM30,000 untuk satu filem.

Natijahnya untuk tiga dekad akan datang, landskap dunia hiburan kita adalah hasil transformasi yang dilakukan oleh penggiat seni pada hari ini, tetapi apakah dia?

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 1:14am
d