pen-emas

Amanat Merak Kayangan tinggal kenangan

Oleh Adam Salleh

Minggu pertama berpuasa, ada antara kita diuji dengan kematian sama ada keluarga atau rakan taulan. Penulis tidak terkecuali mengenangkan kematian bekas bos, A Ghani Nasir, 66, dan sahabat juga dramatis, Soeprihati Sikom yang mesra dipanggil ‘mama rock’ dalam kalangan artis. Kedua-duanya meninggal dunia selang sehari, Khamis dan Jumaat pada bulan mulia ini.

Masih terngiang ketika bertugas di Unit Metrodua pertengahan 90-an, di mana Ghani selaku Pengarang, asal ada tugasan di hotel secara berseloroh, Ghani memesan: “Jangan lupa bawa balik biskut kering.” Agak lucu tetapi sudah begitu usiknya, namun yang pasti selama menjadi ‘anak buah’ Ghani, suasananya relaks dan santai. Terkilan sebaik mengetahui Allahyarham terkena angin ahmar sejak 18 April lalu sudah dimasukkan ke Hospital Ampang sejak 46 hari sebelum kematiannya. Begitulah dengan ‘mama rock’ yang penulis panggil kak Yati.

Beliau yang uzur selepas pulang daripada umrah pun tidak diketahui dan berita kematian mama rock atau kak Yati itu cuma diketahui di entri dramatis dan aktivis teater, Fauziah Nawi. Persahabatan penulis dengan kak Yati ini terjalin sejak 80-an apabila beliau menjadi salah seorang pengikut/peminat setia penulis ketika bekerja di akhbar Mingguan Wanita.

Hubungan kami akrab hinggakan pernah diraikan ulang tahun anak daranya bersama penulis. Dua tahun lalu, kak Yati beria-ria mahu ke Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands. Jenuhlah penulis dapatkan kad untuk beliau. Kami berjumpa di Kuang dan kak Yati begitu gembira mendapat kad itu kerana mahu ke majlis anugerah bersama rakannya, Norlia Ghani.

Hanya al-Fatihah dapat dititipkan buat kedua-duanya, tidak terkecuali buat wartawan senior, Allahyarham Rehman Rashid. Biarpun pernah sebumbung dan sekalipun tidak mengenali rapat Rehman ini, hanya berselisih di pejabat tetapi kita tahu beliau antara wartawan hebat. Berita kematian Rehman disampaikan kepada penulis oleh penyanyi, Rozita Rohaizad.

Apabila mengaitkan ketiga-tiga Allahyarham tadi, ia menyorot ingatan kepada adik angkat P Ramlee iaitu Ramli Ismail dan kebetulan pula 29 Mei lalu bersempena Hari Seniman, genaplah 44 tahun kematian Seniman Agung kita. Lebih sinonim dipanggil Ramli Kechik, sepatutnya catatan belasungkawa untuk beliau ditulis pada minggu kematiannya pada Februari lalu.

Entah mengapa jejari ini seperti tidak tergamak menulis Ramli Kechik yang penulis panggil ‘abang Ramli’ itu sudah tiada. “Salam, saya anak Encik Ramli Ismail, bapa saya dah kembali ke rahmatullah dan hembuskan nafas terakhir sekejap tadi di Hospital Sungai Buloh atas serangan jantung,” begitulah mesej diterima penulis pada jam 6 pagi tanggal 27 Februari lalu.

Tidak terkata sebabnya ada amanat Allahyarham diamanahkan kepada penulis sejak tiga tahun lalu sehingga kini tidak tertunai lagi. Dek amanat itulah, kami sering berjumpa, bersembang jika tidak ke rumah lamanya di kawasan Batu Caves, abang Ramli ke Balai Berita di Jalan Riong untuk bertanyakan perkembangan buku karyanya, Merak Kayangan.

Merak Kayangan adalah buku nukilan Ramli sendiri menyorot sisi yang tidak diketahui orang ramai sepanjang beliau menjadi pembantu peribadi P Ramlee sejak di Singapura. Ramli menghabiskan masa bertahun-tahun menyiapkan buku itu, cuma yang dinantikan beliau apakah ada pihak sudi menerima naskah itu seterusnya menerbitkan buku kisah P Ramlee itu.

Bila mengenangkannya, sebak ada dan hairan pun ada kerana ramai tidak memahami hasrat diinginkan Ramli agar Merak Kayangan itu diterbitkan bagi menambahkan lagi informasi mengenai tokoh hebat itu apabila dikaji oleh generasi akan datang. Penulis bertuah kerana manuskrip asal buku itu diserahkan Ramli untuk tujuan suntingan dan penambahbaikan.

Asal buku lebih 100 muka surat itu ditulis Ramli menggunakan mesin taip. Jenuhlah penulis menulis kembali di komputer, sekali gus membuat suntingan dalam tempoh sebulan. Tidak terkira berapa ramai penerbit termasuk dengan pihak MPH (sesudah berbincang dengan Tan Sri Ahmad Sarji) sudah Ramli jaja buku itu untuk diterbitkan tetapi jawapannya hampa.

Barangkali menyedari usianya kian di penghujung, abang Ramli juga ayah aktor terkenal Rusdi Ramli menelefon penulis untuk perkenalkan dia kepada Datuk Alif Shukri ataupun produser David Teo kerana manalah tahu mereka berminat menerbitkan buku Merak Kayangan itu. Tidak yakin penulis ahli perniagaan seperti Alif dan David itu berminat menerbitkan buku.

Lalu penulis beri alternatif lain pihak paling sesuai dikaitkan dengan P Ramlee jika tidak FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) atau Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) yang kebetulan Aswara dalam proses bertukar status menjadi Universiti P Ramlee. Maka berjumpalah kami dengan Rektor Aswara, Profesor Dr Hatta Azad Khan.

Diskusi berjalan lancar, tetapi penyudahnya Aswara juga tidak berminat menerbitkan Merak Kayangan itu. Buku karya Ramli Ismail itu diserah penulis kepada seorang pegawai FINAS untuk penilaian, tetapi akan dipulangkan kembali pada waktu terdekat. Antara sebab Ramli Kechik bertekad mahu membukukan kisah P Ramlee kerana memikirkan banyak fakta tidak tepat mengenai seniman itu dipaparkan, walhal dia mula berkhidmat dengan P Ramlee sejak tinggal sebumbung di rumah bernombor 28 Cedar Avanue di Singapura pada 1962.

Semangatnya bertambah kuat apabila seniman terkenal Indonesia, Ratno Timoer (Allahyarham) pada 1975 meluahkan kehairanan mengapa Malaysia tidak menerbitkan filem P Ramlee. Bagi aktor Si Buta Dari Gua Hantu itu, P Ramlee adalah seniman hebat nusantara Melayu yang mempunyai bakat luar biasa tidak dimiliki seniman lain.

Sekalipun ada usaha menerbitkan filem P Ramlee pada era 80-an dulu, pengakhirannya baik filem P Ramlee itu sendiri dan buku Merak Kayangan karya Ramli Ismail itu masih sukar menjadi kenyataan dan yang tinggal hanyalah kenang-kenangan.

Penulis Pengarang Rencana

Metro Ahad

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 5:50am
d