pen-emas

Lantik bekas penagih ikon kempen Antidadah

Oleh Adam Salleh

Ada ratusan wartawan di tanah air selain blogger, malangnya yang hadir ke majlis pelancaran tayangan iklan Antidadah di GSC Pavilion pagi semalam hanya dua wartawan saja. Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) antara motifnya untuk tingkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyalahgunaan dadah. Apa juga kempen dilakukan, sokongan pelbagai pihak terutama media perlu apatah lagi dadah di negara kita kian parah.

Statistik 2016 cukup merisaukan apabila 30,846 orang penagih dikesan terbabit dalam pelbagai sektor pekerjaan, dengan belia berusia 19 hingga 39 tahun sejumlah 19,578 ribu orang. Penulis hadir di tayangan iklan itu atas undangan FINAS. Perlu juga hadir kerana sejak menjadi wartawan selama tiga dekad ini, bukan seorang dua rakan taulan dan kenalan artis terjebak dengan dadah.

Ada yang mati hidup semula, tidak kurang yang mati terus gara-gara dadah durjana. Di sisi lain, ingin juga tahu apakah spesil penerbitan tiga iklan komersial Antidadah itu sekali gus hinggakan Hall 3, Aras 6, pawagam itu penuh. Ketiga-tiga judul iklan itu; (i) Keluarga Menderita Kerana Dadah (ii) Jauhi Dadah, Dadah Membunuh (iii) Dadah Membawa Padah.

Ketiga-tiga iklan komersial itu sudah ditayangkan di televisyen dan dengan penayangan di 150 pawagam diharap dapat rancakkan lagi kempen antidadah dengan tagline Perangi Dadah Habis-Habisan. Menilai ketiga-tiga iklan itu yang dilakonkan majoriti pelakon Melayu, timbul persoalan apakah dilema penagihan najis dadah ini hanya komuniti Melayu saja terjebak.

Bukan sekali dua jika menonton iklan dadah hanya muka Melayu saja dipotretkan. Kita maklum ramai belia Melayu terjerumus dengan penagihan najis dadah ini, sebagaimana tersiar di Harian Metro kelmarin (24 Julai), skuad elit AADK terpaksa melakukan operasi besar-besaran di Lembah Klang untuk mengutip penagih tegar yang mengancam nyawa ibu bapa mereka.

Namun harus diperakui belia India juga ada dipengaruhi dadah, begitulah juga segelintir remaja Cina yang hidup ‘bertuhankan’ ekstasi hingga membimbangkan pemimpin politik mereka. Alangkah menarik jika penghasilan ketiga-tiga iklan komersial dadah itu dipaparkan dilema dihadapi oleh ketiga-tiga bangsa terbesar di tanah air kita dalam menangani isu dadah ini.

Pada majlis sama, Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin beritahu akan ada lagu terbaru PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia). Ketika ditanya penulis sewaktu sidang akhbar status lagu itu, perbincangan masih dibuat antara pihaknya dengan Preisden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez mengenai penghasilan lagu tema itu.

Nyatalah Persatuan Pengasih Malaysia yang diterajui Datuk Yunus Pathi lebih deras ke depan kerana pihaknya sudah pun mempunyai lagu sendiri ciptaan Zul Mahat dan lirik Amran Omar. Untuk berkempen mengenai bahaya dadah pada orang ramai terutama remaja tidak relevan hanya di pawagam dan televisyen saja. Siri jelajah (road tour) dari kompleks ke kompleks serta ke merata pelosok di tanah air perlu kerana majoriti yang parah dengan dadah adalah belia di ceruk kampung. Di sinilah perlu ada ikon yang boleh membantu menjayakan kempen.

Artis lazimnya ikon pilihan, namun kata Dr Abdul Halim kalaupun mencari ikon untuk AADK tidak semestinya artis sebaliknya selebriti lain sama ada personaliti terkenal seperti ahli sukan pun relevan. Itu benar, tetapi untuk berkongsi emosi pada masyarakat terutama belia mengenai dadah lebih tepat atau ‘lebih afdal’ jika artis ikon itu adalah bekas penagih sendiri.

Kita ada Ameng Spring, Radhi OAG, Zamani Slam, Apek Senario tidak terkecuali Jamal Abdillah (Datuk) dan Saleem Iklim yang boleh dimanfaatkan AADK untuk kempen anti dadah. Lebih sentimental jika persembahan nyanyian sempena pelancaran ketiga-tiga iklan komersial semalam ada salah seorang penyanyi bekas penagih menghiburkan tetamu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Datuk Azmir Mutalib, namun kita cuma dihiburkan dengan nyanyian Adam AF, Ani Mahyuni dan Caliph Buskers.

April lalu penulis ada mengaitkan isu ini di mana pelatih Pusat Serenti kita suatu ketika dulu dihuni ramai berbakat dalam seni. Ada Jamal Abdillah, ada Armali (anak tunggal Puan Sri Saloma), Tahir Ibrahim (adik Datuk Khatijah Ibrahim), Syed Nor Iduat (bekas anggota kumpulan SYJ dan Sofea), Badin P Ramlee (anak angkat Tan Sri P Ramlee) serta Fahmi Omar (anak sutradara Omar Rojik). Mereka dilayan bukan seperti ‘katak di bawah tempurung’ sebaliknya menggerakkan aktiviti seni Pusat Serenti sehingga sempat mengadakan persembahan di hadapan pembesar negara dan Tunku Besar Negeri Sembilan. Kebetulan ketika Jamal Abdillah ‘check out’ dari Pusat Serenti pada 1987, penulis yang membuat liputan.

Penulis sendiri sempat melihat band Pusat Serenti ketika rangkaian promosi Festival Filem Malaysia di Port Dickson hujung 1990-an. Kebetulan Armali adalah kenalan keluarga penulis, begitu juga dengan Tahir dan Badin, satu sekolah dengan penulis di Sekolah Rendah Jalan Temerloh dan Sekolah Menengah Tinggi Setapak, serba sedikit terbit rasa bangga kerana sekalipun ‘sahabatku’ itu ‘ke dalam’, bakat seni mereka tidak dipersiakan. Bahkan diwujudkan ‘Battle Of The Bands’ dalam kalangan pelatih Pusat Serenti, antaranya Besut, Tampoi, Prolok Sungai Siput dan Rawang. Menariknya mereka yang terbaik dihantar ke Pusat Jagaan Lanjutan di Sungai Besi di mana di situ ada komposer JS Kevin dibimbing pula oleh Datuk Wah Idris.

Ramai tidak tahu penggerak utama ‘adik-adik’ kita di Pusat Serenti itu aktif dalam seni ketika itu adalah hasil modul Ketua Pengarah ketika itu, Datuk Sharif Osman. Mesra dipanggil ‘uncle’ oleh penghuni pusat, Sharif membuat saringan dengan mengambil dan menggajikan mereka ini sama seperti Kementerian Kebudayaan mengambil mereka yang berbakat dalam tarian dan muzik tradisional. Natijahnya, bakat seni yang terpendam di kalangan penagih dadah usah dikuburkan sebaliknya dimanfaatkan dan siapa tahu kelak menjadi ikon ke pentas global.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 7:16am
d