pen-emas

Rahsia Duri Dalam Hati Jins Shamsuddin?

Oleh Adam Salleh

Bagi merancakkan Festival Filem Malaysia (FFM29) pada Sabtu ini (23 September) program Imbas Kembali dan Layar Bintang Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dianjurkan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) pada Khamis lalu (14 September). Sebulan lalu Pengerusi Jawatankuasa Program, Mohd Fazli Abdul Aziz melayang surat jemputan meminta penulis menjadi ahli panel bersama Datuk Yusof Haslam (Penerbit) dan Prof Dr Asiah Sarji (Tokoh Akademik) sementara juruhebah terkenal, Chuari Selamat selaku moderator.

Ikutkan seperti mahu tarik diri kerana penulis bukanlah rapat sangat dengan seniman tersohor itu. Apatah lagi selama menjadi wartawan sejak era 1980-an, ‘James Bond Malaya’ itu tidak mesra media (kecuali hubungan beliau dengan Aimi Jarr) bahkan kami pernah berlaga angin apabila berita serbuan polis terhadap penggiat filem di Studio Pancha Delima pada awal 1990-an menjadi tajuk muka depan Harian Metro dilaporkan penulis sendiri. Lebih sepuluh kali bertembung dalam majlis tetapi hubungan kami tetap ada batasan antara artis dan wartawan.

Jika ditanya peminat filem klasik lebih eloklah Datuk Sarimah Ahmad menjadi panel perihal Jins ini, pastilah 100 peratus setuju. Namun ramai tidak tahu, muktahir ini seniwati pujaan kita mengelak untuk berdiskusi mengenai pasangannya di layar perak itu. Sewaktu penulis diwawancara RTM dokumentari khas Jins Shamsuddin yang akan disiarkan pada 30 September nanti, penerbit cuba memujuk Sarimah tetapi beliau tetap enggan. Nama bakal diinterbiu terlebih dulu mendapat ‘lampu hijau’ isteri Jins, Puan Sri Halijah Abdullah.

Syukurlah nama penulis tidak ‘disenaraihitam’ oleh keluarga Jins Shamsuddin. Lagipun penulis dan anak Jins iaitu Putera Hang Jebat pernah diundang Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 selang sehari selepas pemerrgian bapanya itu pada 1 Mac lalu. Setiap panel ada cara tersendiri mengupas Jins Shamsuddin, cuma sebagai wakil media sejarah artis terakam dalam kepala.

Justeru di kala Yusof mengaitkan Jins sekalipun nama besar tetapi tetap hormatkan pengarah dan Asiah pula menyorot bagaimana filem Ali Setan membuka lembaran baru pihak institut pengajian tinggi terhadap karyawan filem, tiba-tiba penulis terlintas berkongsi info yang tidak pernah dikata atau dikaitkan pada dekad ini perihal filem Duri Dalam Hati arahan Jins.

Ketika program berlangsung majoriti yang hadir ramai generasi baru termasuk beberapa ahli Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik (KFMMK), lalu penulis pun mengupas betapa hebatnya filem Duri Dalam Hati arahan Jins Shamsuddin hinggakan keuntungan berjuta ringgit hasil kutipan tiket filem itu memberi keyakinan pada bos penulis ketika itu, Harun Hassan (Allahyarham) untuk menerbitkan akhbar Harian Kota yang diharap dapat memberi saingan baru pada akhbar harian arus perdana ketika itu Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Lalu penulis pun bertanya pada hadirin, siapa yang tahu Duri Dalam Hari antara filem terbaik arahan Jins Shamsuddin? Majoriti terpinga-pinga sesama sendiri, adik-adik wartawan hiburan pun tidak tahu perihal filem Jins Shamsudidn yang judulnya agak asing itu. Akhirnya penulis menjelaskan filem Ali Setan selama penggambaran judulnya adalah Duri Dalam Hati.

Berlaku pertembungan idea antara pengarah, penulis skrip (Allahyarham Osman Abadi) dan produser, Harun Hassan atau Pak Harun. Jins selaku pengarah mahukan judul Duri Dalam Hati agar nampak drama masyarakat. Almaklumlah Jins memang sinonim dengan filem drama berat ala Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu, Esok Untuk Siapa selain Bukit Kepong.

Jins tidak mahu judul asal diberi penulis skrip dan produser iaitu Ali Setan. Bukan mudah untuk kendurkan ketegasan Jins Shamsuddin, tetapi sebagai bekas wartawan gandingan Harun Hassan dan Osman Abadi sememangnya licik. Selama mengarah, mereka biarkan Jins dengan skrip dan judul kesayangannya Duri Dalam Hati itu. Tiba proses terakhir lain pula jadinya.

Judul Duri Dalam Hati itu ditukar kembali ke Ali Setan. Melalui catatan wartawan Zain Ayip pada 3 Januari 1985, komen Jins: “Sehingga kini saya masih mempertahankan bahawa judul filem itu ialah Duri Dalam Hati, bukan Ali Setan. Pihak Universiti Sains Malaysia yang turut membantu projek filem ini juga bersetuju dengan judul Duri Dalam Hati.”

Sebaliknya pada 30 Januari 1985 melalui catatan wartawan Mokhtar Haji Alias, Jins membuat kenyataan selaku pengeluar Amir Communication berhak menentukan judul filem itu. Suatu hal yang ingin dikongsi di sini jika pada ketika ini filem Abang Long Fadil 2 yang masih rancak ditayangkan sudah mengutip RM16 Juta, tidak jauh bezanya dengan kejayaan filem Ali Setan pada 1985 mengutip RM1.1 juta. Filem lakonan Ogy Datuk Ahmad Daud dan Azmil Mustapha itu menduduki carta ketiga dalam senarai 20 filem terlaris di Malaysia ketika itu.

Filem First Blood menduduki carta pertama dengan kutipan RM1.8 juta, sementara filem James Bond, View To Kill mengutip RM1.3 juta. Ali Setan satu-satunya filem tempatan menduduki carta itu. Harus diingat harga tiket ketika itu, tidak seperti sekarang. Seingat penulis tiket 65 sen masih ada di Coliseum sementara kelas pertama RM2. Bayangkanlah dengan nilai sekarang.

Filem Ali Setan juga menjadi filem pertama menjalani proses pengalihan suara (dubbing) dan penyuntingan terakhir di Studio Pancha Delima yang bernilai RM280,000 ketika itu. Yang pasti Ali Setan menyerlahkan versatil Jins Shamsuddin selaku pengarah kerana berjaya menggarap cinta remaja dengan menyelami jiwa penuntut USM ketika itu, begitulah juga bagaimana Jins berjaya membentuk penyanyi Sheila Majid (Datuk) dan rakan seperjuangan penulis, Izi Yahya (Allahyarham) yang asalnya jurugambar untuk mencipta nama sebagai pelakon.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 2:50am
d