mutakhir

Statistik kemalangan menurun

Shah Alam: Usaha Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian dalam kalangan pengguna jalan raya di Selangor membuahkan hasil apabila statistik kemalangan menunjukkan penurunan.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Tam Weng Wah berkata, tanggungjawab JKJR untuk mempertingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan orang awam adalah tugas yang besar, bagaimanapun dengan kerjasama daripada pelbagai pihak ia dapat direalisasikan apabila kadar kemalangan menunjukkan penurunan.

Menurutnya, walaupun statistik menunjukkan jumlah penurunan kemalangan sedikit, tetapi ia memperlihatkan pengguna jalan raya semakin sedar pentingnya keselamatan di jalan raya.

"Berdasarkan statistik yang diterima daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan 83 kematian daripada 1,102 pada 2012 kepada 1,019 bagi 2013.

"Manakala statistik sehingga Ogos 2014 menunjukkan hanya 87 kematian dicatatkan berbanding 99 kes bagi Ogos 2013 dengan ini berlakunya penurunan 12.1 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program 'The Long Short Walk 2014' peringkat Negeri Selangor yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Atan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, semalam.

Tam berkata, JKJR juga melaksanakan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014 hingga 2020 yang mana mengandungi lima intipati yang memfokuskan aspek keselamatan jalan khas buat pengguna jalan raya.

"Fokus utama pelan ini adalah untuk mengurangkan sehingga 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan dan pelan ini juga sudah diluluskan jemaah menteri yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 2:41am
d