mutakhir

140 kes denggi sehari

Oleh Suraya Roslan

Cheras: Selangor mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu 38,263 setakat kelmarin dengan purata kes harian 140 sehari.

Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, ia diikuti dengan Kelantan iaitu 13,248 kes dengan jumlah kes harian 34 kes disusuli Kuala Lumpur mencatatkan 5,349 kes dengan 13 kematian dan 13 kes disahkan denggi setiap hari.

"Ia disusuli beberapa negeri yang turut mencatatkan peningkatan kes demam denggi iaitu Johor (4,484), Perak (4,242), Negeri Sembilan (3,104), Melaka (2,068), Pulau Pinang (1,667), Sarawak (1,479), Pahang (1,330), Terengganu (1,101), Sabah (1,003), Kedah (791), Putrajaya (261), Perlis (188) dan Labuan (11)," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Statistik KKM mencatatkan 78,589 kes demam denggi membabitkan ratusan kematian direkodkan di seluruh negara untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Zainal Ariffin Pawanchee berkata, setakat ini kes demam denggi di Kuala Lumpur berada dalam keadaan terkawal.

"Bagaimanapun kami tidak menafikan jumlah kes dicatatkan meningkat 250 peratus berbanding tahun lalu.

"Malah, dengan 13 kematian dicatatkan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pelan tindakan khas untuk pencegahan dan kawalan denggi," katanya ketika ditemui di Program Gotong Royong Garena Malaysia dan DBKL di PPR Taman Mulia dan Sri Kota, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya turut mengadakan gotong-royong perdana membersihkan kawasan persekitaran penduduk selain pemeriksaan rumah ke rumah bagi mencari tempat takungan denggi.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 2:43am
d