mutakhir

Tangan tercampak 5 meter

Keningau: Seorang pemandu maut dengan tangannya putus dan tercampak lima meter selepas kenderaan dipandunya dirempuh lori dalam kejadian di Kilometer 65 Jalan Keningau-Nabawan, berhampiran Kampung Satu Nabawan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa Nipoh Kili, 55, mati ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengalami cedera parah di tangan kanan dan dada.

Sementara itu, pemandu lori tiga tan Mohammad Ikhsan, 29, bersama kelindannya warga Myanmar yang hanya dikenali sebagai San Win, 20-an, cedera.

Difahamkan, mangsa yang memandu Toyota Hilux seorang diri dipercayai dalam perjalanan dari Sook menuju ke Nabawan.

Setibanya di tempat kejadian, lori tiga tan jenis Mitsubishi Fuso yang datang dari arah hadapan dikatakan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan dipandu mangsa.

Rempuhan kuat itu menyebabkan tangan kanan mangsa terputus dan terpelanting kira-kira lima meter daripada lokasi rempuhan.

Mangsa kemudian dikeluarkan sepasukan bomba dan dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau Asisten Superintendan Merbin Anak Lisa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat polytrauma atau kesan cedera teruk pada tangan kanan manakala paru-parunya turut pecah, dipercayai tertusuk tulang.

"Manakala pemandu lori mengalami kecederaan ringan pada lutut sementara kelindannya tidak mengalami kecederaan," katanya.

Merbin berkata, siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan menuju ke Sook selepas selesai melakukan kerja pembinaan longkang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulut.

"Pemandu lori kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 2:50am
d