mutakhir

Sasar turun 11%

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Kementerian Kesihatan Malaysian (KKM) menyasarkan pengurangan kadar notifikasi kes baru jangkitan HIV dan AIDS kepada 11 peratus bagi setiap 100,000 penduduk, tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, komitmen itu dibuktikan kerajaan melalui Matlamat Pembangunan Melinium (MDG) yang diperkenalkan sejak 2000 lalu.

"Melihat kepada MDG ini, pada 2000, kadar jangkitan adalah 21.7 kes bagi setiap 100,000 penduduk dan kami jangkakan sasaran 11 peratus dapat dicapai pada tahun depan.

"Kami di kementerian yakin melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dan usaha memperkenalkan pelbagai langkah pencegahan secara konsisten, bilangan kes baharu HIV/AIDS ini menunjukkan penurunan secara sekata tahun demi tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan AIDS Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3, di sini, semalam.

Menurut Hilmi, secara kumulatif terdapat 101,67 kes jangkitan HIV/AIDS dilaporkan sejak kes pertama direkodkan pada 1989, namun ian menurun secara tetap pada 2003 dengan 6,756 kes.

Katanya,keadaan bertambah positif apabila penurunannya semakin ketara pada 2013 apabila bilangan kes baru adalah sebanyak 3,393 dengan kadar notifikasi 11.4 peratus bagi setiap 100,000 penduduk.

"Sehingga enam bulan pertama tahun ini, hanya 1,676 kes baru dilaporkan dengan kadar 11.1 peratus sahaja bagi setiap 100,000 penduduk," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 3:21am
d