mutakhir

'Hospital mini' lengang

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Ada tapi macam tiada. Itu tanggapan penduduk di sekitar Presint 18 di sini yang kesal apabila Klinik Kesihatan Presint 18, yang sudah siap dibina sejak setahun lalu belum dibuka dan beroperasi sepenuhnya biarpun semua peralatan dan kemudahan sudah didirikan.

Klinik umpama 'hospital mini' itu bukan saja dilengkapi kemudahan perubatan sebaliknya ia juga menyediakan perkhidmatan unit kecemasan seperti mana disediakan sebuah hospital.

Namun, klinik yang didirikan berhadapan Kompleks Futsal Presint 18 itu kelihatan sunyi dan lengang umpama bangunan terbengkalai.

Rata-rata penduduk setempat yang ditemui menyatakan harapan masing-masing agar pihak Kementerian Kesihatan dapat membuka klinik kesihatan berkenaan secepat mungkin bagi kemudahan dan manfaat penduduk.

Sebelum ini, penduduk yang rata-rata penjawat awam terpaksa mendapatkan kemudahan rawatan di Klinik Kesihatan Presint 9 dan dan Klinik Kesihatan Presint 3 bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Seorang kakitangan awam, Nor Shida Ibrahim, 32, berharap supaya klinik berkenaan dapat dibuka secepat mungkin bagi memudahkan orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan.

Katanya, ketika ini, dia dan ahli keluarganya terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Presint 9 yang terletak jauh daripada kuarters penjawat awam yang didudukinya kini.

"Sekiranya Klinik Kesihatan Presint 18 dibuka lebih awal, ia boleh menjimatkan masa memandangkan klinik berkenaan berada di presint yang sama.

"Saya kerap membawa anak saya untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik kesihatan, namun terpaksa ke Klinik Kesihatan Presint 9 bagi mendapatkan rawatan untuk mereka. Sekiranya pusat kesihatan itu dibuka, ia lebih menjimatkan minyak, tenaga dan masa," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Khalida Khalid, 42, berkata, klinik kesihatan itu perlu dibuka lebih cepat memandangkan ia diwujudkan bagi memberi kemudahan rawatan kesihatan kepada orang awam dan tidak sepatutnya dilengahkan.

Katanya, sebagai penduduk di Presint 18, dia gembira sekiranya ia dibuka kerana mereka sekeluarga tidak perlu lagi pergi ke Klinik Kesihatan Presint 3 bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

"Klinik Kesihatan Presint 3 sentiasa dipenuhi orang ramai tidak kira pada waktu pagi, petang atau malam menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan rawatan.

"Jika klinik di Presint 18 ini dibuka, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah pesakit yang mengunjungi Klinik Kesihatan Presint 3, malah masa menunggu juga boleh dipendekkan," katanya.

Khalida berkata, ada kemungkinan masalah kekurangan tempat meletak kenderaan menjadi punca kenapa klinik kesihatan itu masih belum dibuka sehingga kini biarpun mempunyai kemudahan mencukupi.

Selain itu, seorang penduduk dikenali sebagai Lizawati, 30-an, berkata, tiada guna kemudahan itu diwujudkan jika ia tidak dapat digunakan seperti sepatutnya.

"Saya mahu pihak berkaitan membuat penelitian jelas kenapa ia belum dapat beroperasi sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 3:30am
d