mutakhir

Pura-pura pengsan elak ditahan

Puchong: Seorang wanita warganegara Nigeria berpura-pura pengsan selepas ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam operasi yang dijalankan di Pangsapuri Koi Tropika, di sini, tengah malam kelmarin.

Terdahulu, wanita berusia 30-an itu dilihat melepak di kawasan kolam renang pangsapuri berkenaan sebelum melarikan diri apabila melihat kelibat anggota penguat kuasa.

Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya apabila dia ditahan anggota Imigresen yang memintasnya sejurus tiba di lokasi berkenaan.

Selepas cubaan melarikan dirinya itu gagal, wanita terbabit pura-pura pengsan bagi mengelakkannya diangkut naik ke kenderaan penguat kuasa.

Penolong Pengarah Imigresen Selangor Kwhaja Banthey Navaz Mohamed Haneef berkata, wanita itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika ditahan anggota Imigresen.

Menurutnya, wanita itu turut mendakwa dirinya mempunyai dokumen sah untuk menetap di negara ini.

"Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dijalankan, kita dapati wanita berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah seperti yang didakwa.

"Tindakan wanita itu berpura-pura pengsan adalah taktik bagi meraih simpati anggota imigresen agar melepaskan dia.

"Ini satu perkara biasa kerana sebelum ini sudah banyak kali pendatang asing berbuat demikian apabila ditahan penguat kuasa," katanya selepas menjalankan Ops Warga Asing di sini, kelmarin.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 3:31am
d