mutakhir

MBSA perlu RM1j

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berharap pihaknya juga menerima sekurang-kurangnya RM1 juta daripada peruntukan RM30 juta yang dibentangkan dalam Bajet 2015 untuk kempen denggi, kelmarin.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Atan berkata, Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilihat sebagai bajet pro rakyat dan berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menerima agihan yang sepatutnya supaya dapat membantu mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Daripada RM30 juta yang diperuntukkan untuk pencegahan denggi itu, diharap sekurang-kurangnya MBSA diberikan peruntukan RM1 juta.

"Dengan peruntukan RM30 juta untuk 14 negeri bagilah Selangor RM1 juta, jadi MBSA dapat boleh melakukan kerja dalam mengatasi masalah denggi ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Soccer Kids Shah Alam 2014 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Jaafar turut berkata, peruntukan infrastruktur pada Bajet 2015 yang mana LRT 3 akan dibina di Shah Alam adalah langkah yang bijak daripada Kerajaan Persekutuan.

"Saya amat bersyukur dengan pembinaan LRT 3 ini yang akan dibina dari Bandar Utama ke Shah Alam seterusnya ke Klang dan terdapat beberapa stesen di sini (Shah Alam) antaranya UiTM, Seksyen 13, Seksyen 14 serta di pusat bandar.

"Bagi memudahkan penduduk setempat, MBSA akan menyediakan tempat letak basikal berkunci di setiap stesen serta menyediakan pelbagai kemudahan awam yang lain antaranya tempat menunggu bas dan teksi ini adalah untuk memudahkan orang awam," katanya.

Katanya, selain itu MBSA juga akan terus merangka perkara ini dengan lebih terperinci dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk bandar raya ini.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 3:39am
d