mutakhir

Fahami hasrat orang muda

Oleh Iskandar Shah

Kuala Lumpur: "Saya merumuskan bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sememangnya menyedari golongan muda masa kini menghadapi cabaran cukup tinggi untuk memiliki rumah pertama mereka.

"Berikutan itu, selain menambah peruntukan untuk kementerian, langkah kerajaan mengurangkan kos permulaan untuk pembelian rumah antaranya dengan mengurangkan duti setem dan memberi insentif bagi dua tahun pertama dianggap tepat pada masanya," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau mengulas reaksi kementeriannya mengenai pembentangan Bajet 2015 kelmarin, antaranya berkaitan langkah kerajaan menawarkan Skim Perumahan Belia bagi pemilikan rumah pertama bernilai tidak melebihi RM500,000 kepada golongan berkahwin berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Skim yang layak untuk belia berkeluarga yang mempunyai isi rumah tidak melebihi RM10,000 itu merangkumi tempoh pembiayaan maksimum hingga 35 tahun selain pengecualian sebanyak 50 peratus duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Menurut Abdul Rahman, pihaknya berterima kasih kepada Najib selaku Menteri Kewangan kerana memberi peruntukan tambahan berjumlah 17 peratus kepada kementeriannya dan jumlah itu dianggap besar untuk pembinaan rumah kos rendah dan pembiayaan pembangunan lain.

"Perdana Menteri mewujudkan skim itu kerana beliau faham kebimbangan dan hasrat golongan muda untuk memiliki rumah mampu milik. Ini jelas membuktikan bahawa beliau turut merasai denyutan nadi belia kerana mengutamakan keprihatinan mengenai keperluan dan kehendak golongan itu.

"Skim Perumahan Belia itu adalah program baru membabitkan pembinaan sejumlah 20,000 unit rumah pertama. Jika membuahkan hasil dan mendapat sambutan menggalakkan, kami akan menambahnya lagi pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX 2014) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Yusoff Ghazali dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MAPEX Datuk Ng Seing Liong.

Ekspo yang berlangsung di Pusat Pameran Midvalley (MVEC) itu disertai lebih 90 pemaju perumahan tempatan dan antarabangsa membabitkan penawaran ribuan unit hartanah sederhana hingga mewah bernilai RM20 bilion di seluruh negara.

Abdul Rahman berkata, Skim Perumahan Belia setakat ini tidak membabitkan perumahan di lokasi tertentu namun perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Jabatan Perumahan Negara.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan industri perumahan turut dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menurutnya, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan oleh pihak berkaitan dan kenaikan harga rumah diharap tidak melebihi tiga peratus serta tidak berlaku pada setiap tahun.

Sementara itu, Fateh berkata, pihaknya turut menyambut baik langkah kerajaan menambah peruntukan untuk industri perumahan negara terutama dalam memberi peluang lebih mudah kepada semua rakyat untuk membeli rumah terutama kos rendah dan mampu milik.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 3:42am
d