mutakhir

Tangkis tuduhan liar

Kuala Lumpur: Pendekatan kerajaan memperluas skop barangan keperluan dan perkhidmatan asas dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan hanya mampu menurunkan harga barang dan meningkatkan kuasa beli rakyat, malah dapat menangkis dakwaan pakatan pembangkang bahawa pelaksanaan cukai baru itu membebankan.

Sebaliknya, pengecualian GST dalam barangan keperluan asas seperti petrol dan diesel, ubat-ubatan serta peningkatan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Profesor ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, keinginan rakyat berbelanja meningkat berikutan harga barangan keperluan dan perkhidmatan asas yang tidak dikenakan CBP akan turun.

"Ini memberikan satu nikmat yang besar kepada rakyat, terutama penduduk luar bandar, dan pada masa sama mampu merancakkan lagi aktiviti perniagaan," katanya.

Dalam ucapan pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan bersetuju meluaskan skop barang yang tidak dikenakan GST.

Sistem percukaian baru itu dilaksanakan mulai 1 April tahun depan.

Najib berkata, daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat dalam 'kumpulan barangan' Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus.

Mengulas lanjut, Amir Hussin berkata, pertumbuhan ekonomi negara akan terus berkembang pesat menerusi perbelanjaan oleh rakyat dalam pasaran, sekali gus menyumbang semula ke dalam aliran pendapatan negara.

Beliau berkata, inflasi tidak berlaku menerusi kutipan cukai baru berkenaan sekiranya peniaga tidak mengambil kesempatan.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 3:44am
d