mutakhir

Peringkat akhir

Oleh Zaitie Satibi

Kuala Lumpur : Panduan pembeli yang dikeluarkan kerajaan menerusi Bajet 2015 bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan harga sebelum dan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kini berada di peringkat akhir sebelum diedarkan awal tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya dalam proses mengumpul maklumat mengenai harga barangan di seluruh negara dan tugasan berkenaan memerlukan masa sebelum dapat dilengkapkan.

"Kementerian sudah ada pemerhati harga yang bertugas mengumpulkan senarai harga barangan di seluruh negara dan ada tambahan beberapa barangan lagi untuk dimuatkan dalam pangkalan data panduan pembeli.

"Sebelum ini, paparan harga barangan dipaparkan dalam akhbar bagi memudahkan pengguna mendapat gambaran harga barangan tertentu. Malah, harga barangan juga turut dipaparkan dalam laman sesawang kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan taklimat francais anjuran Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu SEED, Prof Mahendran Nair dan Presiden MFA, Datuk Mohd Latip Sarrugi.

SEED yang ditubuhkan sejak Ogos 2012 inisiatif kerajaan bertujuan menerajui, memacu dan menyelaras pembabitan usahawan masyarakat India dalam teras agenda pembangunan ekonomi negara. Badan ini juga memberi bimbingan dan maklumat secara terperinci mengenai pinjaman dan bantuan kerajaan untuk peserta.

Hasan berkata, panduan pembeli yang dijadikan rujukan kepada rakyat negara ini dan pelancong untuk membuat perbandingan harga itu juga boleh digunakan sebagai saluran kepada mereka untuk melaporkan kenaikan harga sesuatu barangan.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan peniaga yang meletakkan harga sesuka hati dan tindakan tegas akan dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Oleh itu, panduan pembeli ini juga dapat digunakan pengguna untuk mengesan jika berlaku kenaikan harga dan membuat aduan terus kepada pihak berkuasa," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2014 @ 3:47am
d