mutakhir

Graduan UIAM mudah dapat kerja

Kuala Lumpur: Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) didapati mudah mendapat pekerjaan dan menjadi pilihan majikan, kata Presidennya Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, kajian kebolehpasaran graduan 2013 yang dijalankan universiti itu mendapati 75 peratus daripada keseluruhan pelajar UIAM diterima bekerja selepas enam bulan menamatkan pengajian.

"UIAM mempunyai rekod yang baik khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains, perubatan, pergigian dan undang-undang. Kita akan pastikan graduan kita memenuhi kehendak pasaran, bukan sekadar mempunyai sijil dan ijazah sahaja," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Konvokesyen UIAM ke-30 di sini semalam. Universiti itu sehingga kini melahirkan 70,273 graduan merangkumi pelbagai bidang.

Selain itu Dr Rais yang juga penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, berkata UIAM akan menubuhkan 'Sudut Pengucapan' di Fakulti Undang-Undang pada Januari depan untuk menggalakkan lontaran pandangan warga UIAM dalam pelbagai isu.

"Kita ingin pemimpin pelajar, siswa dan siswi untuk berucap dan menyampaikan pandangan namun ia harus berteraskan budaya dan adab yang baik," katanya.

Dalam perkembangan lain Dr Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, berkata stesen televisyen tempatan perlu memastikan wujud ruang dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Beliau mengulas cadangan supaya stesen televisyen Bernama TV menjadi saluran yang menawarkan sumber berita berbahasa Inggeris tahun depan bagi menghadapi era penyiaran digital menjelang 2017.

"Setiap kementerian bertanggungjawab memajukan Bahasa Melayu dan sekiranya penukaran (kepada berita berbahasa Inggeris) ini dibuat, ia perlu ada peningkatan dari segi (hasil) pemasaran," katanya.

Bernama TV pada masa ini mengamalkan konsep pelbagai bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil dalam berita dan rancangan terbitannya.

Lebih 400 graduan pelbagai bidang pengajian menerima ijazah masing-masing bersempena majlis konvokesyen yang berlangsung tiga hari bermula semalam.

Majlis konvokesyen semalam turut menyaksikan penyampaian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Pembuatan) kepada Allahyarham Mohd Hakim Mohd Saleh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya September lalu.

Ibu Allahyarham, Fatimah Ali, 57, menerima tepukan gemuruh ketika menaiki pentas untuk menerima ijazah itu bagi pihak anaknya, selepas hadirin bertafakur dan menghadiahkan bacaan al-Fatihah.

"Saya terharu mendapat tepukan daripada semua di dewan tadi. Saya juga bersyukur kerana hasrat dia (Allahyarham) untuk menamatkan pengajian dalam bidang yang dia minat akhirnya terlaksana," kata Fatimah mengenai anak bongsu daripada dua beradik itu. - BERNAMA

Disiarkan pada: October 13, 2014 @ 5:02am
d