mutakhir

900 barang sifar GST diwarta

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Ipoh: Kerajaan akan mewartakan lebih 900 barangan dan produk yang tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula hari ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan mewartakan barangan berkenaan lebih awal bagi membolehkan ahli perniagaan melakukan penstrukturan semula sistem perniagaan masing-masing sebagai memudahkan mereka apabila sistem cukai itu berkuat kuasa walaupun GST hanya akan dilaksanakan pada April tahun depan.

Menurutnya, terdapat kira-kira 500 produk yang tidak dikenakan GST, tetapi ditambah kepada hampir 1,000 barangan selepas penyemakan semula dilakukan dengan impak cukai itu terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) diunjurkan sekitar satu peratus.

"Apabila dikatakan tidak dikenakan GST atau '0 rated' bermakna tidak ada langsung GST di setiap peringkat sama ada pengilang, pemborong, peruncit atau pengguna.

"Itu sebab apabila ada orang tanya apa kesan kepada rakyat, ia sebenarnya bergantung kepada sifat pembelian oleh keluarga itu. Jika sebahagian besar pembelian tertumpu kepada barangan keperluan asas yang tidak dikenakan GST, maka kesannya kepada mereka ialah hampir kosong," katanya.

Ahmad Husni berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk melaksanakan satu sistem bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST itu menaikkan harga barangan.

"Ia termasuk membuat senarai harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan GST sebagai panduan kepada pengguna untuk mengenal pasti mana-mana syarikat atau peniaga sengaja mengambil kesempatan untuk melakukan kenaikan harga.

"Selain itu, satu badan pemantau dengan kerjasama persatuan pengguna seluruh negara dengan peruntukan diberikan kepada persatuan terbabit untuk meningkatkan kolaborasi dengan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Futsal dan Bola Jaring Parlimen Tambun di pekarangan Mydin Meru Raya di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pihaknya menjangka lebih 200,000 syarikat akan berdaftar untuk menggunakan GST pada suku pertama tahun depan berdasarkan sambutan menggalakkan lebih 84,000 syarikat yang sudah mendaftar setakat kelmarin.

"Ketika di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ada 63,000 syarikat mendaftar, tetapi untuk GST kita sasarkan 123,000 syarikat sehingga akhir tahun ini tetapi berdasarkan perkembangan semasa, kita boleh jangka pendaftaran sehingga 200,000 syarikat menjelang akhir tahun ini.

"Sambutan menggalakkan ini kerana semakin ramai syarikat sedar kebaikan GST berbanding SST kerana di bawah SST, cukai ada kalanya dikenakan sehingga 10 peratus pada peringkat kilang, jadi barangan siap menjadi mahal apabila sampai kepada pemborong yang kemudian dikenakan pula kepada peruncit dan seterusnya pengguna," katanya

Menurutnya, kerajaan ada sistem yang mengenakan cukai lebih rendah dan memberi kebaikan kepada syarikat iaitu sama dikenakan cukai input iaitu daripada pembekal atau kilang kepada pemborong dan peruncit.

Disiarkan pada: October 13, 2014 @ 5:04am
d