mutakhir

21 hospital rujukan Ebola

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Kesihatan sudah melakukan persediaan awal bagi memantau penularan wabak penyakit virus Ebola (EVD) di negara ini termasuk mengenal pasti 21 hospital di seluruh negara bagi menerima rujukan kes pesakit di bawah pemantauan (PUI) EVD atau PUI-EVD.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua hospital berkenaan ditugaskan untuk tujuan pengurusan awal dan pengesahan jangkitan manakala kes positif EVD pula melalui ujian makmal di tiga hospital iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah dan Hospital Umum, Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, pada masa sama, tiga makmal dikenalpasti untuk menjalankan ujian pengesanan EVD masing-masing di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR); Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh (Selangor) dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (Sabah).

"Kami ingin memaklumkan bahawa kementerian masih memantau secara berterusan virus berkenaan selepas mendapati situasi penularannya di beberapa buah negara Afrika Barat belum menunjukkan tanda untuk reda.

"Malah, beberapa kes sudah mula dilaporkan di luar Afrika seperti kes import pertama di Amerika Syarikat yang dilaporkan pada 24 September 2014 dan terkini membabitkan seorang anggota kesihatan di Sepanyol pada 6 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Justeru, katanya, kementerian terus memperkukuhkan tahap berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan penyakit EVD ke dalam Malaysia.

Noor Hisham berkata, apa yang penting semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terbabit dalam pengurusan kes jangkitan EVD memahami dengan jelas definisi kes PUI atau disyaki EVD yang digunakan.

Menurutnya, pemahaman itu penting untuk memastikan pengamal perubatan dapat mengenal pasti kes PUI-EVD sebelum merujuk kes disyaki ke hospital yang dikenal pasti untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

"Langkah-langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya penting bagi mencegah sebarang penularan kes EVD dalam negara," katanya.

Katanya, berdasarkan definisi kes PUI-EVD yang diguna pakai kini, aspek klinikal membabitkan pengesanan gejala demam dengan gejala tambahan seperti sakit kepala; sakit otot; muntah; cirit-birit; sakit perut atau pendarahan.

"Dari aspek epidemiologikal, pesakit berdepan risiko pendedahan sepanjang tempoh 21 hari sebelum individu terbabit mula bergejala termasuk mempunyai kontak langsung dengan cairan badan atau mayat individu lain yang diketahui menghidap EVD atau disyaki menjangkiti penyakit tersebut.

"Malah, pesakit berkenaan juga mempunyai sejarah perjalanan atau masyarakat dari tempat yang melaporkan penularan jangkitan EVD yang aktif selain terbabit dalam mengendalikan secara langsung kelawar atau sebarang jenis haiwan lain yang berpotensi menyebabkan jangkitan di kawasan endemik EVD," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kes definisi ini digunakan untuk mengenal pasti PUI-EVD tidak hanya terhad kepada warga Afrika tetapi juga warganegara Malaysia atau warganegara lain yang mempunyai sejarah tinggal, bekerja atau melawat ke negara dijangkiti.

Noor Hisham berkata, buat masa ini, negara yang paling terjejas dengan jangkitan EVD termasuk Guinea; Liberia; Sierra Leone dan Nigeria.

Disiarkan pada: October 13, 2014 @ 5:04am
d