mutakhir

TENTERA Turki berkawal dengan kereta kebal berhampiran bandar Kobane bersempadan dengan Syria.Dilema Turki di Kobane

Sehingga hari ini, Turki hanya melihat pergolakan yang berlaku di Kobane, bandar Kurdis di utara Syria yang hanya beberapa meter dari sempadannya.

Tidak syak lagi, kejatuhan bandar itu kepada militan Negara Islam (IS) akan memberi kesan buruk kepada Ankara.

Namun, kerajaan Turki menolak rayuan etnik minoriti Kurdisnya untuk membantu menyelamat bandar itu daripada dikuasai IS.

Dalam kata lain, Ankara mahu menunggu dan melihat apa yang berlaku di Kobane, menyebabkan masyarakat Kurdis di rantau berkenaan menganggap, kejatuhan Kobane, jika berlaku, berpunca kepada dasar Turki yang enggan menghulurkan bantuan.

Ada juga dalam kalangan penduduk Kurdis di Kobane percaya, selain terperangkap dalam serangan IS, mereka juga dikepung oleh Turki.

Perkembangan yang berlaku di bandar sempadan itu membuktikan tidak ada rasa simpati antara kerajan Turki dengan etnik Kurdis di Kobane.

Beberapa hari lalu, kira-kira 200 Kurdis yang memasuki sempadan Turki selepas melarikan diri dari Kobane ditahan pihak berkuasa negara itu dan disoal mengenai hubungan mereka dengan YPG - militia Kurdis yang berjuang bermati-matian mempertahankan bandar berkenaan.

Ankara mempunyai prasangka buruk terhadap YPG dan cabang politiknya, PYD kerana hubungan mereka dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang sudah sekian lama terbabit dalam pertelingkahan bersenjata dengan kerajaan Turki kerana menuntut kuasa autonomi.

Bukan Turki tidak mempunyai strategi di Syria.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, negaranya perlu matlamat yang jelas untuk campur tangan di Kobane.

Tidak seperti Amerika Syarikat, keutamaan Turki, jika ia melancarkan serangan, ialah untuk menjatuhkan Presiden Syria, Basyar al-Assad.

"Kami minta tiga perkara: Satu, wujudkan zon tanpa penerbangan; dua, isytihar zon keselamatan yang selari dengan wilayah itu; dan melengkapkan senjata dan melatih kumpulan berfahaman sederhana di Syria dan Iraq," kata Recep.

Hasrat tumbang Basyar

Kenyataan itu menggambarkan hasrat sebenar Turki, menumbangkan Basyar.

Bagaimanapun, masyarakat Kurdis berbeza pendapat dengan pemimpin Turki itu. Kurdis Turki berasakan Ankara gagal menghulurkan bantuan kepada saudara mereka di Syria. Kerana itu mereka melakukan tunjuk perasaan hingga ada yang terkorban.

Turki jelas tidak berada dalam kedudukan selesa. Ia pasti berdepan dengan kerumitan untuk membuat pilihan dalam masa terdekat ini. Apa juga langkah yang diambil akan membantu sama ada rejim Basyar, kumpulan pemisah Kurdis atau IS.

Bagi Turki, membantu Bashar atau sekutunya di Kobane yang terdiri daripada milita Kurdis dan PKK, tidak ada dalam rancangannya. Tetapi pada masa sama, membiarkan IS menang di Kobane juga akan mencetuskan masalah kepadanya.

Keengganan Ankara untuk bertindak meningkatkan rasa permusuhan antara Kurdis dengan masyarakat Turki ke tahap baru. Ia akan mengambil masa yang lama sebelum mereka dapat berbaik semuka.

Cara Ankara menangani krisis Kobane boleh meyakinkan sebahagian besar masyarakat Kurdis bahawa proses damai dengan Turki bukan saja rapuh, tetapi juga sia-sia.

Mungkin apabila pertempuran di Kobane berakhir, akan ada persoalan baru timbul sehingga menyukarkan kerajaan Turki menjawabnya.

Penulis Pengarang Global Harian Metro

Disiarkan pada: October 14, 2014 @ 5:11am
d