mutakhir

Lari badan berasap

Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka

Seorang lelaki bukan sekadar gagal mencuri peralatan di sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) malah menanggung azab apabila badannya melecur 80 peratus selepas terkena renjatan elektrik di Bachang, di sini, semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa berusia 39 tahun yang melecur ditemui orang awam ketika sedang berlari dari kawasan pencawang ke warung berhampiran dalam keadaan tubuh berasap untuk meminta bantuan.

"Melihat keadaan tubuh dan pakaian lelaki itu yang kehitaman, orang awam menyangkakan dia terjatuh ke dalam longkang, namun sebaik didekati tubuhnya berbau hangit.

"Disyaki lelaki itu terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri peralatan di dalam pencawang kerana beberapa barangan antaranya basikal dan beg galas mengandungi telefon bimbit serta gunting dipercayai miliknya ditemui di dalam pencawang terbabit," katanya di sini, semalam.

Saksi hanya mahu dikenali sebagai Wong, 50, berkata, dia menyedari kejadian selepas mendengar jeritan lelaki itu yang meminta tolong sambil berlari dalam keadaan badannya berasap.

"Ketika itu saya berada di tokong bersebelahan dan sebaik mendengar jeritan, saya keluar meninjau sebelum mendapati seorang lelaki berlari dengan badannya hitam dan berasap ke arah warung berhampiran.

"Sebaik mendekatinya, tubuh lelaki itu berbau hangit dan dia turut meminta diberikan minuman. Melihat keadaan itu saya segera menghubungi bomba untuk memberikan bantuan," katanya.

Pengurus Besar TNB negeri Datuk Baderul Sham Saad berkata, satu laporan dibuat di Balai Polis Malim berhubung kejadian berkenaan.

"Kejadian berpunca daripada tindakan seorang awam menceroboh masuk ke pencawang itu dengan memecah kunci mangga pada pintu dan cuba mencuri peralatan yang ada di dalamnya.

"Ia mengakibatkan penceroboh itu terkena renjatan elektrik dan letupan (flashover), kejadian turut menyebabkan berlaku gangguan elektrik hampir satu jam di kawasan sekitar Bachang membabitkan 12 pencawang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian mengakibatkan kerugian RM200,000 bagi menggantikan peralatan serta suis pencawang yang rosak dan orang awam diminta menyalurkan maklumat ke talian 15454 sekiranya melihat individu atau kumpulan mencurigakan di kawasan pencawang.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Low Liang Seong berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.16 petang dan seramai sembilan anggota bersama masing-masing satu jentera serta Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

"Ketika sampai jam 1.24 petang, kita dapati mangsa yang badannya melecur 80 peratus terbaring berhampiran sebuah warung berdekatan dengan pencawang TNB," katanya.

"Mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke Hospital Melaka menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Keterangan Gambar:

PIX 1: MANGSA menerima rawatan di lokasi kejadian.

PIX 2: KAKITANGAN TNB melakukan pemeriksaan di pencawang.

PIX 3: ANTARA barangan ditemui dipercayai milik lelaki berkenaan.

Disiarkan pada: October 14, 2014 @ 5:12am
d