mutakhir

Contohi pengusaha cendol

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya

Tidak banyak aduan mengenai kenaikan harga barangan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak penguatkuasaan pengurangan subsidi minyak, 2 Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sepanjang tempoh 2 hingga 12 Oktober, pihaknya mengadakan 75,851 pemeriksaan di seluruh negara dilakukan pegawai penguat kuasa serta pegawai pemantau harga daripada kementerian.

"Pemeriksaan dilakukan di premis perniagaan dan pasar. Sepanjang pemeriksaan memang ada kes atau aduan kenaikan harga barangan, tetapi tidak banyak, malah ada yang menurunkan harga seperti dilakukan pengusaha cendol di Kuala Selangor.

"Pengusaha ini menurunkan harga cendolnya 20 sen. Tindakan itu sepatutnya dicontohi pengusaha atau peniaga lain dan bukan mengambil kesempatan di atas pengumuman pengurangan subsidi berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengumumkan Skim Kawalan Harga musim perayaan sempena Deepavali di kementeriannya di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengarah Penguatkuasaan Mohd Roslan Mahayuddin.

Hasan berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya hanya menerima 37 aduan dari seluruh negara membabitkan pelbagai kes dan kebanyakannya mengenai kegagalan peniaga meletakkan tanda harga barang.

Sementara itu, Hasan berkata, kementerian menetapkan 14 jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga musim perayaan sempena Deepavali yang disambut pada 22 November ini.

Katanya, penguatkuasaan Skim Harga Barang Kawalan ini ialah selama 10 hari bermula 18 hingga 27 Oktober iaitu empat hari sebelum Deepavali dan lima hari selepas perayaan itu.

Menurutnya, 14 barangan berkenaan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, C, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, tomato, bawang merah kecil, ubi kentang import dan kacang dal.

"Tahun ini, harga ayam dan kacang dal lebih murah berbanding harga skim sama tahun lalu iaitu RM3.30 berbanding RM3.50 bagi kacang dal manakala harga ayam turun daripada RM7.70 kepada RM7," katanya.

Orang ramai juga boleh membuat aduan sekiranya peniaga tidak mematuhi arahan dengan menghubungi talian bebas tol KPDNKK di 1800-886-800 atau melaporkan di pejabat KPDNKK terdekat.

Disiarkan pada: October 14, 2014 @ 5:14am
d