mutakhir

Macam-macam ada...

Oleh Asmah Rusman dan Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Pusat hiburan di sekitar Jalan P. Ramlee di sini, ibarat 'telaga emas' bagi pelacur warga asing susulan kejayaan polis memberkas 159 pelacur berasal dari 11 negara berbeza awal pagi semalam.

Kumpulan pelacur atasan itu dikesan berpeleseran saban malam di sekitar pusat hiburan dan disko di kawasan itu bagi menawarkan khidmat seks terutamanya kepada pelancong asing.

Khidmat seks ditawarkan secara bergerak itu dilumpuhkan selepas sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman bersama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) melakukan serbuan di lokasi itu kira-kira jam 1.30 pagi.

Dalam serbuan itu, seramai 159 wanita berusia 20 hingga 30 tahun gagal meloloskan diri selepas lokasi berkenaan dikepung seramai 60 pegawai dan anggota polis.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, seramai 101 wanita diberkas adalah warga Vietnam, Filipina (22), Uzbekistan (21), Thailand (lima), Indonesia (tiga), Turkmenistan (dua), Azerbaijan, Kzgrystan, Romania, China dan Iran masing-masing seorang.

Menurutnya, semua wanita itu dikesan bergerak aktif pada waktu malam dengan memilih pusat hiburan mewah yang menjadi tumpuan lelaki tempatan atau pelancong asing.

"Mereka bebas keluar masuk ke dalam pusat hiburan itu kerana premis berkenaan mempunyai lesen yang sah selain dikunjungi ramai pelanggan.

"Kami melakukan risikan sejak seminggu lalu sebelum melakukan serbuan dan menahan semua wanita yang disyaki pelacur terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 15, 2014 @ 5:01am
d