mutakhir

Mekanisme sedia ada mampu kekang peniaga tamak

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yakin mekanisme sedia ada dapat mengekang tindakan segelintir peniaga yang mungkin mengambil kesempatan susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menaikkan harga barangan.

Menterinya Datuk Seri Hassan Malek (gambar) berkata, akta yang dikuatkuasakan seperti Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan 2011 dapat memastikan hak pengguna dilindungi apabila peniaga yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas jika dikesan sengaja mengambil kesempatan terhadap pengguna.

"Persediaan kita untuk GST adalah kementerian sudah ada penguatkuasa untuk memastikan aduan rakyat diambil tindakan. Penguatkuasaan yang kita lakukan sudah dibuktikan sebelum ini terutama ketika isu ketirisan minyak berlaku.

"Kita mempunyai pemantau harga di seluruh negara dan setiap hari mereka akan melakukan pemeriksaan ke pasar dan kedai tertentu untuk mengumpul harga barangan sebelum disalurkan kepada kementerian.

"Kita ada mekanisme untuk menganalisis angka harga bagi membolehkan kita meletakkan paparan harga. Pengguna boleh membuat pilihan dan perbandingan. Kita mahu wujudkan situasi menang-menang bagi peniaga dan pengguna untuk kedua-dua pihak berpuas hati.

"Yang terkini, dalam soal skim kawalan harga sempena Deepavali, harga ayam dan kacang dal kali ini lebih rendah dari tahun lepas dan ini usaha yang dibuat oleh kerajaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai Pemasaran Produk Halal dan Penyelesaian Pembiayaan anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Hassan berkata, kerajaan juga mempunyai mekanisme untuk memantau kenaikan indeks harga pengguna (IHP) bagi memastikan harga barang dalam keadaan terkawal.

Katanya, biarpun IHP mungkin menunjukkan kenaikan atau penurunan, namun beliau yakin bahawa ia tidak menjurus ke arah inflasi yang tinggi.

"Kita selalu bercakap berdasarkan statistik, IHP bulan lalu adalah sekitar 3.2 peratus dan mungkin ia ada naik turun tetapi saya yakin bahawa ini tidaklah menjurus ke arah inflasi yang tinggi.

"Setiap bulan kita keluar statistik dan kita ada mekanisme untuk pantau IHP," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2014 @ 5:09am
d