mutakhir

Hutang dah lebih RM200,000

Oleh Ibrahim Isa

Ledang

Bukan tidak berperikemanusiaan, tetapi jumlah hutang melebihi RM89,000 menyebabkan pengusaha kedai runcit memberhentikan pemberian kredit kepada lebih 500 pekerja asing kilang perabot di Taman Perindustrian Grisek di sini, yang tidak dibayar gaji sejak pertengahan September lalu.

Pekerja terdiri daripada 300 warga Nepal, Bangladesh (100), Pakistan (50), Myanmar (30), Indonesia (10), Sri Langka (seorang) dan 40 pekerja tempatan itu hanya dibayar setengah gaji bermula Januari lalu, sebelum kilang ditutup hujung bulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan mereka tiada wang membeli makanan dan lebih malang, tiga kedai runcit serta satu kedai makan tidak membenarkan mereka berhutang kerana tunggakan hutang melebihi RM200,000.

Pekerja kedai runcit Smart Binding Sdn Bhd Jahangir Alam, 35, berkata, pemberian kredit dihentikan bermula Sabtu lalu selepas hutang menjangkau RM89,563 membabitkan 155 pekerja yang mengambil barangan makanan sebelum diagihkan kepada rakan masing-masing.

"Biasanya mereka hanya menggunakan satu nama untuk beberapa orang dan mengambil barangan keperluan.

"Selama ini, kami memberikan kredit kepada mereka kerana setiap kali menerima gaji, mereka membayar hutang.

"Malangnya, tahun ini mereka gagal menjelaskan hutang sebaliknya menambah kredit dan sejak September lalu, mereka tak dapat menjelaskan bayaran," katanya.

Menurutnya, berikutan itu pemilik kedai mengambil keputusan tidak memberikan kredit kerana bimbang kerugian.

Katanya, jumlah hutang RM89,563.90 itu besar dan melihat keadaan semasa iaitu majikan mereka sudah menutup kilang, sukar untuk terus memberikan bantuan.

Pemilik bersama kedai runcit New Sunflower Sdn Bhd Kamaruddin Abdul Mutalib, 45, berkata, pihaknya tidak dapat memberikan kredit kerana hutang pekerja asing berjumlah RM11,600.

Menurutnya, sebelum ini pekerja asing itu mengambil pelbagai barangan termasuk tambah nilai telefon bimbit, makanan dan minuman ringan.

Bagaimanapun, katanya sejak tidak dibayar gaji, warga asing terbabit hanya mengambil makanan untuk keperluan harian.

"Kami faham masalah mereka dan walaupun secara kasarnya tidak lagi memberi hutang, kami tetap menghulurkan bantuan makanan atas dasar kemanusiaan.

"Macam-macam saja boleh berlaku dan kami bimbang kerana lapar mereka melakukan jenayah untuk makan," katanya.

"Berikutan itu, kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan bagi membantu mereka," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Muar ketika dihubungi enggan memberikan ulasan berhubung isu itu.

Disiarkan pada: October 15, 2014 @ 5:10am
d