mutakhir

Jasad 2 sahabat ditemui terapung

Oleh Omar Osman

Sungai Petani

Dua sahabat masing-masing berusia 16 tahun yang hilang ketika memancing bersama empat rakan mereka di Pantai Merdeka, di sini, kelmarin ditemui terapung tidak jauh dari lokasi kedua-duanya dilaporkan tenggelam, semalam.

Mayat Muhamad Hazuwan Shaudin dan Ahmad Hazami Ahmad Husaini ditemui satu kilometer dari tempat mereka hilang berhampiran muara Sungai Merbok oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melakukan operasi mencari kedua-dua mangsa sejak kelmarin.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penguasa Kanan Bomba 1 Yunus Abu berkata, mayat Hazuwan ditemui jam 6 petang manakala rakannya, Ahmad Hazami ditemui jam 6.06 petang.

Katanya, mayat kedua-dua pelajar terbabit yang ditemui itu kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk bedah siasat.

"Berikutan penemuan mayat kedua-dua pelajar itu, saya mengucap terima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk kampung yang banyak membantu," katanya.

Sementara itu, suasana sedih dan hiba apabila ibu bapa kedua-dua mangsa gagal mengawal perasaan mereka sehingga terpaksa dipapah dan ditenangkan ahli keluarga sebaik mayat mereka dibawa ke pengkalan.

Harian Metro semalam melaporkan, dua sahabat masing-masing berusia 16 tahun dipercayai lemas selepas hilang ketika memancing di Pantai Merdeka, di sini.

Disiarkan pada: October 15, 2014 @ 5:11am
d