mutakhir

'Katering' dadah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh

Seorang pengusaha katering di bandar raya ini, dikesan bukan saja menyediakan pelbagai masakan, tetapi turut 'memasak' syabu di sebuah banglo di Jalan Kinta, Lim Garden, di sini.

Bagaimanapun, kegiatan suspek terbongkar selepas polis menyerbu banglo berkenaan pada jam 10.30 pagi Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, selain daripada pelbagai peralatan katering, pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak diketuai Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak Deputi Superintendan Abdul Latiff Mehat turut menemui makmal mini memproses dadah Methamphetamine atau syabu dan dadah dianggarkan bernilai RM2.76 juta di banglo satu tingkat itu.

Menurut jiran yang tinggal bersebelahan dengan banglo yang diserbu itu, pengusaha katering terbabit menyewa kediaman terbabit dua tahun lalu daripada seorang doktor yang kini menetap di Pulau Pinang.

Katanya, dia tidak menyangka jirannya itu turut berniaga dadah dan mempunyai makmal memproses dadah.

"Rahsia jiran itu terbongkar selepas polis menyerbu banglo berkenaan pada Ahad lalu dan saya terkejut kerana sebelum ini tiada sebarang aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.

"Sejak pengusaha katering itu menyewa di sebelah rumah saya, kami tidak pernah bertemu dan saya hanya melihat beberapa kenderaan keluar masuk ke banglo berkenaan, tetapi tidak menyangka mereka melakukan kegiatan haram," katanya, semalam.

Menurut lelaki berusia 70-an itu, dia sudah menetap di kawasan perumahan berkenaan lebih 30 tahun dan sepanjang pengusaha katering terbabit menyewa di kawasan berkenaan dia tidak pernah terbau masakan atau sesuatu yang pelik, walaupun rumah mereka hanya bersebelahan saja.

Sementara itu,Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, hasil serbuan di banglo itu, pihaknya merampas dadah syabu dianggarkan seberat 32.8 kilogram dengan nilai RM2.76 juta mengikut pasaran semasa, selain pelbagai peralatan memproses dadah.

"Pemeriksaan mendapati makmal mini memproses dadah itu berselindung di sebalik perniagaan katering dan pemeriksaan lanjut menemui pelbagai alat memproses dadah serta syabu dalam bentuk kristal dan cecair.

"Susulan daripada rampasan itu, polis memberkas dua suspek berusia 34 dan 42 tahun iaitu pengusaha perniagaan katering terbabit serta seorang warga asing di dua lokasi berasingan di Ipoh pada petang hari sama," katanya, semalam.

Paramasivam berkata, hasil siasatan mendapati suspek sudah menjalankan perniagaan katering sejak lebih dua tahun lalu di banglo yang disewa itu, manakala makmal mini berkenaan baru beroperasi enam bulan lalu.

Disiarkan pada: October 15, 2014 @ 5:16am
d