mutakhir

5 cedera van jenazah bertembung kereta

Kota Bharu: Urusan penghantaran jenazah lelaki dari Puchong, Selangor ke Tumpat tergendala apabila van jenazah yang membawanya terbabit dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Kuala Krai, dekat Ketereh, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 10.30 pagi ketika van dari Masjid Abdul Rahman, Puchong, dalam perjalanan ke tempat pengebumian bertembung kereta Perodua Kancil dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh.

Pertembungan itu mengakibatkan lima mangsa cedera ringan termasuk pemandu van, Nazri Ahmad, 61, dan dua waris yang mengiringi jenazah.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu Deputi Superintendan Yusof Jaafar berkata, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk di bahagian depan.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu Perodua Kancil berusia 26 tahun yang gagal mengawal kenderaan lalu bertembung dengan van jenazah terbabit.

"Akibatnya, jenazah lelaki berusia 57 tahun itu dipindahkan ke van jenazah lain dari Kok Lanas untuk dihantar ke rumah keluarga di Tumpat.

"Sebelum itu mereka difahamkan bergerak dari Puchong, Selangor pada jam 2 pagi semalam (kelmarin)," katanya, semalam.

Yusof berkata, semua lima mangsa masing-masing pemandu van jenazah dan kereta, dua waris yang mengiringi jenazah dan seorang ahli keluarga pemandu kereta cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Disiarkan pada: October 15, 2014 @ 5:20am
d