mutakhir

Topi keledar bukti samun kedai

Kajang: Topi keledar sama yang sering digunakan ketika merompak kedai serbaneka menjadi bukti kukuh penangkapan dua penjenayah sejurus diberkas polis di sebuah stesen minyak di Jalan Reko, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, dua suspek terbabit dilihat sedang melepak di kawasan stesen minyak berkenaan sebelum polis melakukan pemeriksaan ke atas mereka.

Difahamkan, suspek dipercayai terbabit lebih dari empat kes samun di Kajang sejak sebulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Muhammad Ji berkata, hasil penelitian dan siasatan kamera litar tertutup (CCTV) ke atas kedai yang disamun mendapati topi keledar digunakan suspek adalah sama ketika tangkapan dilakukan.

Menurutnya, suspek yang disoal siasat mengaku melakukan samun di beberapa kedai antaranya di Taman Sepakat, Hentian Kajang, Reko Sentral dan beberapa kedai serbaneka di Semenyih.

"Dalam tangkapan kelmarin, pihak polis menemui barangan termasuk dua pisau di dalam raga motosikal Yamaha 125Z suspek.

"Suspek masing-masing berasal dari Pahang dan Semenyih ini berusia 14 tahun dan 21 tahun. Hasil saringan ujian air kencing mengesahkan seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek tiada rekod jenayah sebelum ini dan mereka dipercayai aktif menyamun sejak setahun lalu.

"Suspek menggunakan modus operandi berpura-pura membeli barangan sebelum mengacukan senjata ke arah juruwang atau masuk ke kaunter sebelum melarikan wang tunai dan melarikan rokok," katanya.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya akan memanggil individu yang terbabit dalam kejadian samun di beberapa kedai serbaneka untuk membuat kawad cam.

"Kedua suspek kini ditahan reman sehingga 17 Oktober ini untuk siasatan lanjut," katanya.

ends

Disiarkan pada: October 16, 2014 @ 5:30am
d