mutakhir

Ops Outlet kastam lebih agresif

Oleh Adnan Mohamad

Kota Bharu

Ops Outlet yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memerangi penjualan rokok seludup di seluruh negara diteruskan dengan lebih agresif.

Kali ini, JKDM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ops Puntung di sekitar Pudu.

Dalam operasi itu, JKDM menahan enam peruncit kerana menjual rokok seludup.

Timbalan Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, operasi pertama kali diadakan `dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan itu bertujuan memerangi rokok seludup kerana pihaknya mendapati penjualan rokok haram berkenaan sudah meluas di Malaysia dan ia perlu dihentikan.

Katanya, operasi sama akan diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh terdekat.

"Dalam operasi itu, 46 notis kompaun berjumlah RM12,250 dikeluarkan ke atas 46 individu kerana merokok di kawasan bebas asap rokok," katanya.

Sementara itu, dalam Ops Outlet kelmarin dan hari ini di beberapa negeri seperti Perlis, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka, enam peniaga runcit ditahan kerana didapati menjual rokok seludup.

Malah, dalam ops sama, JKDM turut menyita sebuah kereta milik seorang peniaga yang didapati terbabit dalam penjualan rokok seludup.

Dalam serbuan kelmarin, seorang peniaga yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Jalan Kampung Bakau, Kangar, Perlis ditahan manakala beberapa kotak rokok seludup turut dirampas.

Bagi operasi semalam pula, seramai lima lagi peniaga runcit ditahan atas kesalahan sama iaitu di Jalan Sultan Zainab, Kota Bharu, Blok Desa Cempaka Nilai, Jalan Padang Besar Kangar, Jalan Telaga Air, Bagan Luar dan Jalan Belakang Telekom, Butterworth Pulau Pinang serta di Jalan SJ 2, Taman Semabok Jaya, Taman Semabok Jaya, Melaka.

Kebanyakan rokok seludup yang dirampas adalah John Putih dan Hitam, Gudang Garam, Canyon, U2 dan Era.

Mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, mereka yang didapati menjual, menyimpan atau memiliki rokok seludup boleh didenda 10 kali ganda nilai barang dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejak Ops Outlet dilancarkan bermula 5 Mac lalu, 4,317 premis runcit diserbu JKDM dan 1,444 daripadanya didapati menjual rokok dilarang pengimportan.

Berikutan itu, seramai 952 peniaga runcit ditahan, 190 juta batang rokok turut dirampas, selain 455 peniaga sudah pun didakwa di mahkamah serta menerima hukuman masing-masing.

Disiarkan pada: October 16, 2014 @ 5:33am
d