mutakhir

'King' kecundang'King' kecundang

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol

Sekumpulan pengedar dadah diketuai lelaki dikenali sebagai 'King' ditahan polis dalam satu operasi di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Palong 6, dekat sini, Isnin lalu.

Empat lelaki terbabit dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Gugusan FELDA Palong dan menjadikan ladang berkenaan yang berhampiran sempadan daerah Segamat, Johor sebagai markas mereka.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, dengan penahanan keempat-empat suspek berusia 26 dan 41 tahun itu, pihaknya yakin dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah oleh kumpulan terbabit.

Katanya, operasi jam 11.42 malam itu disertai 13 pegawai dan anggota polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol dibantu anggota polis bantuan FELDA.

"Ketika serbuan suspek dipercayai sedang berbincang sebelum mengedar dadah dan cuba melarikan diri sebaik mengetahui kehadiran polis, namun berjaya ditangkap.

"Pemeriksaan menemui dadah jenis heroin daripada semua suspek dalam bentuk peket kecil sebanyak 80 peket dan lima lagi dalam penyedut minuman.

"Sebungkus dadah seberat 467 gram turut ditemui pada salah seorang suspek menjadikan keseluruhan hampir 600 gram dadah bernilai RM15,000 dirampas," katanya pada sidang media di IPD Jempol, semalam.

Menurut Hamzah, pihaknya menjalankan siasatan mendapati kumpulan pengedar warga tempatan itu dipercayai aktif sejak dua tahun lalu di sekitar FELDA Palong.

"Kami percaya aktiviti pengedar dadah di sekitar FELDA Palong dilumpuhkan dengan tertangkapnya empat pengedar dadah terbabit.

"Suspek dipercayai mendapatkan dadah dari Johor dan kemudian mengedarkannya di sekitar daerah ini terutama di kawasan FELDA," katanya.

Katanya, dua suspek berusia 37 dan 41 tahun dari FELDA Palong 4 dan Palong 7 disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua lagi berusia 26 dan 37 tahun masing-masing dari FELDA Palong 7 disiasat mengikut Seksyen 39A (1) akta sama.

"Semua mereka positif dadah dengan dua suspek memiliki lapan dan sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas dua motosikal milik dua suspek mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Semua suspek ditahan reman lima hari bermula hari ini (kelmarin) sehingga Sabtu ini.

"Kami sentiasa mengadakan operasi seperti ini dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah terutama di kawasan FELDA," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2014 @ 5:37am
d