mutakhir

'Tidak benar'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Pelabuhan Klang: Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menafikan beliau menandatangani satu surat perjanjian dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas dilantik menerajui negeri ini mulai pertengahan September lalu.

Mohamed Azmin berkata, dakwaan blog yang menyatakan beliau menandatangani surat peletakan jawatan tidak bertarikh sebagai usaha ‘mengikatnya’ agar patuh kepada setiap arahan dikeluarkan pemimpin tertinggi PKR adalah tidak benar.

“Tidak benar. Itu tidak wujud,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Raja Uda, di sini, semalam.

Rabu lalu, sebuah blog politik mendakwa Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menulis beberapa cadangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lalu, mengenai perkara akan dilakukan sekiranya Mohamed Azmin dilantik menjadi Menteri Besar.

Antara cadangan itu ialah PKR mengeluarkan satu surat peletakan jawatan tidak bertarikh agar Mohamed Azmin ‘diikat’ selamanya dengan parti dan Presiden.

Penulis blog itu turut mendedahkan tugas sebenar Rafizi sebagai Setiausaha Agung ialah mengawal Mohamed Azmin bagi memastikan segala tindakannya selari dengan dasar parti.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan pelantikan Rafizi sebagai Setiausaha Agung PKR baru-baru ini untuk ‘mengawalnya’ sebagai Menteri Besar.

“Itu keputusan yang dibuat parti (PKR),” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2014 @ 3:00am
d