mutakhir

Tempoh pembekuan Kebenaran PDA berakhir

Putrajaya: Selepas empat bulan dibekukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akhirnya menamatkan tempoh pembekuan permohonan baru kebenaran mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Kebenaran PDA) berkuat kuasa semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, penarikan balik pembekuan Kebenaran PDA yang dibekukan sejak 10 Jun lalu itu membolehkan pengusaha stesen minyak menjalankan aktiviti termasuk mengusahakan stesen minyak; menjalankan aktiviti bunkering (pengisian minyak kapal); menjalankan aktiviti pengangkutan bahan petroleum dan memasar serta mengedar bahan petroleum secara borong.

Beliau berkata, pembukaan semula Kebenaran PDA itu dibuat selepas pihaknya berpuas hati dengan kejayaan Ops Titik yang dijalankan pihaknya sebelum ini selain mengambil kira kepentingan industri dan pengguna.

“Kami berpuas hati dengan kejayaan Ops Titik berkenaan kerana ia membantu membanteras penyelewengan dan penyeludupan petroleum yang dikesan berlaku di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh pembekuan itu juga, kami dapati tiada lagi kes kehabisan stok dan bahan petroleum di stesen minyak direkodkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) dan wakil syarikat minyak di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad.

Hasan berkata, pihaknya berpuas hati dengan hasil langkah pemutihan itu selain komitmen berterusan pelbagai pihak untuk memantau perkara itu sehingga aktiviti penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi dikawal dan menunjukkan trend pengurangan.

Beliau berkata, pihaknya juga bersetuju menetapkan syarat permohonan baru dan tempoh sah laku Kebenaran PDA dipendekkan kepada dua tahun berbanding lima tahun sebelum ini manakala, pemohonnya juga hendaklah bebas dari senarai hitam oleh mana-mana agensi kerajaan.

Disiarkan pada: October 18, 2014 @ 5:11am
d