mutakhir

'Terima kasih Harian Metro'

Oleh Nur Saliawati Salberi

Klang: “Tidak sangka, masih ada pihak yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga, terima kasih Harian Metro,” kata R Suresh, 28, penerima sumbangan sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Khas Deepavali hari ini.

Program Titipan Kasih Harian Metro Khas Deepavali itu adalah untuk meringankan beban dan memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan serta anak yatim supaya dapat menyambut Deepavali.

Menurut bapa kepada seorang anak lelaki itu, apabila mendapat tahu dia antara yang terpilih untuk program itu, ia bagaikan satu hadiah yang paling bermakna terutama buat anaknya.

Katanya, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya April lalu, dia tidak dapat bekerja lagi kerana kaki kirinya mengalami kecederaan dan hanya bergantung kepada bapa mentua dan ahli keluarga yang lain.

“Pada mulanya saya agak risau kerana tidak dapat membuat persiapan untuk anak dan isteri sempena Deepavali nanti, tetapi semuanya berubah apabila Harian Metro sudi membantu.

“Saya sekeluarga tidak sabar untuk menunggu esok (hari ini) yang mana kami akan pergi membeli persiapan dan baju baru,” katanya.

Sempena Program Titipan Kasih Harian Metro Khas Deepavali hari ini, seramai 40 keluarga yang kurang berkemampuan termasuk kanak-kanak miskin sekitar Kapar terpilih menerima sumbangan sempena Deepavali yang disambut pada 22 Oktober ini.

Mereka dibawa membeli pakaian di bandar Klang pada hari ini serta acara kemuncaknya berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Methodist Kapar yang akan turut dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengerusi TKHM yang juga Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu dan Rencana Harian Metro Othman Mamat.

Disiarkan pada: October 18, 2014 @ 5:12am
d