mutakhir

Sukarelawan NSTP-MPB bantu mangsa banjir

Penampang: Kehadiran 20 sukarelawan termasuk empat ahli Briged Sukarelawan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) - Media Prima Berhad (MPB) di beberapa kampung di daerah ini untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir disambut penuh gembira penduduk setempat.

Misi bantuan kemanusiaan diketuai Wan Abdillah Wan Nawi itu turut disertai Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Donald Peter Mojuntin dan berpecah kepada dua kumpulan masuk ke kampung terjejas bagi menghulur bantuan.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Babah/Bunuon, Kampung Nambazan, Kampung Kibabaig, Kampung Dungkahang, Kampung Dabak, Kampung Pogunon, Kampung Tindai dan Penampang Proper.

Penduduk Kampung Babah/Bunuon, Matrina Mejil, 57, berkata, dia bersyukur dengan bantuan itu kerana amat bermakna kepada mangsa banjir sepertinya.

“Banyak keperluan rumah, khususnya barangan dapur berkurang berikutan banjir dan bantuan ini meringankan beban saya,” katanya selepas menerima bantuan oleh Tabung Bencana NSTP - Media Prima di sini, semalam.

Terdahulu, Wan Abdillah berkata, sumbangan yang diterima daripada orang ramai menerusi Tabung Bencana NSTP - Media Prima itu diserahkan kepada 250 keluarga mangsa banjir di lapan kampung di daerah ini.

Sumbangan itu dalam bentuk barangan keperluan harian seperti beras, gula, garam, minyak masak, susu pekat, serbuk pencuci dan dapur gas.

Turut diserahkan pam air kepada dua sekolah dan empat kampung untuk kemudahan penduduknya.

Banjir di pantai barat Sabah minggu lalu menyebabkan beberapa daerah terjejas dengan Penampang paling teruk apabila hampir keseluruhan daerah itu terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai, tenggelam.

Kelmarin, Media Prima Bhd mengaktifkan semula Tabung Bencana NSTP - Media Prima berikutan banjir di Sabah dan sebagai langkah persediaan bagi kawasan lain yang lazimnya dilanda banjir ketika musim tengkujuh.

Tabung Bencana itu dimulakan pada 2 Oktober 2009 untuk membantu mangsa bencana alam dan orang ramai boleh menyumbang dengan mendepositkan wang ke dalam akaun Maybank 5141-0532-0757 sama ada melalui Maybank2u, ATM dan perbankan telefon KawanKu, Mesin Deposit Tunai Maybank, Mesin Deposit Cek Maybank atau kaunter Maybank.

Sumbangan menerusi cek atas nama Tabung Bencana NSTP - Media Prima boleh disalurkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Bhd, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: October 18, 2014 @ 5:14am
d