mutakhir

Ceriakan suasana Deepavali

Kapar: Deepavali kali ini lebih bermakna bagi 40 keluarga yang terpilih menerima sumbangan menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang berlangsung, semalam.

Penerima S Rajesvari, 44, berkata, sumbangan itu mengembalikan keceriaan kepada keluarganya setelah sekian lama tidak melakukan persiapan sempena pesta cahaya itu.

“Masalah keluarga ditambah dengan pendapatan yang hanya RM300 sebulan membuatkan kami hidup serba kekurangan.

“Tambahan pula kaki saya tidak mampu berdiri lama, membuatkan saya tidak dapat bekerja dan hanya boleh berniaga di depan rumah,” katanya.

Seorang lagi penerima S Tamil Selvi, 37, berkata, sumbangan berbentuk barangan dapur dan wang tunai berjumlah RM250 selain pakaian raya bernilai RM150 untuk anak membeli pakaian baru serta wang saku RM100.

“Saya sangat gembira dengan sumbangan yang diberikan dan sangat saya hargai kerana sebelum ini saya belum pernah menerima apa-apa sumbangan,” jelasnya.

Bagi K Kaniyama, 37, hingga kini keluarganya tidak melakukan persiapan bagi menyambut Deepavali kerana suaminya tidak berkemampuan berbuat demikian.

“Suami saya sakit dan tidak dapat bekerja.

“Apabila ada pihak tampil menghulurkan bantuan, kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya anak saya yang masih kecil dapat merasa kemeriahan Deepavali,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2014 @ 5:11am
d