mutakhir

'Kalau rindu baru saya layan'

Shah Alam: Bukan selalu saya ambil pil dadah syabu. Kalau ‘rindu’ baru saya layan,” kata seorang remaja lelaki yang ditahan dalam operasi Ops Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersepadu di Plaza Tol Batu Tiga di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 8 malam itu, remaja berusia 18 tahun terbabit ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif ujian dadah.

Operasi yang berakhir awal pagi semalam turut membabitkan tiga agensi kerajaan lain iaitu Jabatan Imigresen Selangor, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Remaja terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Muhamad, 18, mengakui mula mengambil syabu sejak awal tahun ini kerana ingin ‘mencuba’ selepas terpengaruh dengan rakan-rakan.

“Saya bukan baru ambil syabu tadi. Kali terakhir saya ambil (dadah) tiga hari lalu. Tak tahu pula ada operasi besar-besaran malam ini (semalam),” katanya.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Selangor Adenan Md Isa berkata, operasi bersepadu itu ditumpukan terhadap kesalahan membabitkan nombor pendaftaran, cermin gelap, lampu Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) dan lampu ‘sportlight’.

Katanya, sebanyak 481 pemandu daripada 826 pemilik kenderaan ditahan diberikan nasihat membuat pengubahsuaian mengikut spesifikasi ditetapkan JPJ.

“Bagi empat kesalahan utama itu hanya notis dan nasihat diberikan supaya mereka dapat membuat pengubahsuaian semula sebelum tindakan bakal diambil pada 1 November depan.

“Selain itu sebanyak 289 saman turut dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan pengubahsuaian enjin tanpa kebenaran. Sebanyak 14 kenderaan persendirian turut disita,” katanya.

Sementara itu, seramai 22 warga asing berusia antara enam dan 40 tahun ditahan kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah selain didapati turut tinggal lebih masa di negara ini oleh Jabatan Imigresen Selangor.

Disiarkan pada: October 20, 2014 @ 5:05am
d