mutakhir

Uji kegagahan tumpas lawan

Kota Bharu: Selain gasing uri, gasing pangkah yang sering digunakan untuk ‘berentap’ turut menjadi kegemaran peminat gasing khususnya di Kelantan.

Walau generasi muda menetap di bandar kurang mengenali gasing ini, belia Kelantan maklum mengenai kelebihan gasing pangkah yang mempunyai ketahanan tinggi ketika beradu tenaga di gelanggang.

Dua rakan karib, Mohd Riduan Ibrahim, 25, dan Mohd Izuan Saufi, 23, yang mewakili Kumpulan Gasing Kok Keli dari Tumpat menceritakan bagaimana mereka menghabiskan masa lapang dengan bermain gasing pangkah.

Kata Mohd Riduan, dia tidak menganggap bermain gasing pangkah ketinggalan zaman kerana warisan turun temurun itu mempunyai kelebihan dan kepuasan tersendiri.

“Walau ada yang menganggap gasing adalah permainan untuk golongan berusia, bagi saya ia sebenarnya ada keistimewaan tersendiri dan beri kepuasan yang hanya pemain tegar mampu menilai.

“Sebagai belia juga saya bertanggungjawab untuk mempertahankan permainan ini supaya ia tak pupus ditelan zaman,” katanya yang aktif mengikuti pertandingan gasing sejak setahun lalu.

Paling utama, katanya, bermain gasing boleh mengisi masa lapang terutama pada waktu petang dan mengelak daripada terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat termasuk pengambilan dadah mahupun merempit.

Menceritakan perbezaan gasing uri dan pangkah, katanya, gasing uri yang lebih leper lebih kepada memperaga rupa dan dipertandingkan untuk menguji keupayaannya berpusing dalam tempoh tertentu, manakala gasing pangkah bersifat ‘gagah’ kerana bertanding untuk menumpaskan pihak lawan.

“Seronok jika kita dalami permainan ini. Sebab itu saya suka mengajak belia lain bersama-sama meneroka permainan ini dan mereka boleh berkunjung ke Gelanggang Seni pada setiap hujung minggu untuk melihat kami bermain,” katanya yang lebih puas apabila melihat gasingnya berputar lama dan memperoleh tepukan penonton.

Bagi Mohd Izuan yang sudah empat tahun bermain gasing memberitahu misinya untuk menurunkan ilmu melontar gasing dengan betul supaya ia tidak tinggal nama semata-mata.

Katanya, generasi muda tidak kira di kampung atau bandar sekali pun wajar tahu permainan tradisional dan gasing salah satu medium untuk mereka mengenali budaya.

“Pada masa ini remaja lebih gemar bermain permainan komputer kerana lebih mudah, namun amat rugi jika mereka langsung tak tahu gasing itu apa dan permainan ini tidak diwariskan.

“Saya tekad untuk memberi tunjuk ajar kepada remaja lain yang berminat kerana permainan ini sungguh menyeronokkan,” katanya yang bekerja sebagai pencanting batik.

Menurutnya, selain mengelak remaja terjebak dengan gejala tidak sihat, pengetahuan bermain gasing membolehkan seseorang menerima pulangan lumayan apabila menyertai program kebudayaan negeri dan diundang mengadakan persembahan di hadapan pelancong dan golongan kenamaan.

Katanya, memiliki pengalaman sebegitu sangat berharga dan boleh dikenang sehingga hari tua.

“Rugi jika kita sendiri tidak mengambil peluang ini kerana pelancong asing sentiasa mahu mempelajari permainan ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2014 @ 5:08am
d