mutakhir

Ibu bapa pembakar semangat

Port Dickson: Anak penoreh getah, Mohd Tarmizi Hashim, 21, dipilih sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik selepas berjaya menamatkan sesi latihan perajurit muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), kelmarin.

Tarmizi yang berasal dari Kampung Terap, Kedah berkata, dia tidak menyangka dipilih menerima anugerah berkenaan dan menyifatkan ia penghargaan buat dirinya dan keluarga.

“Kejayaan ini satu batu lonjatan buat saya untuk terus berusaha gigih dan mendepani pelbagai cabaran semasa dalam pekerjaan bagi melakar kejayaan yang lebih tinggi.

“Pencapaian yang dikecapi ini juga hasil daripada doa dan kata semangat yang sering dilontarkan ibu dan ayah bermula daripada perancangan saya bagi mengikuti latihan ketenteraan.

“Selepas ini saya akan terus menjalankan tugasan yang diamanahkan dengan sebaik mungkin demi negara,” katanya yang juga anak keempat daripada lima beradik.

Dia ditemui selepas upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Pengambilan Lelaki 174/2014 dan Wanita 36/2014 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Turut hadir Panglima Latihan Tentera Darat Datuk Suhaimi Mohd Zuki dan Komandan PUSASDA Kolonel Roslan A Rahman.

Seramai 1,477 perajurit muda lelaki dan 29 perajurit wanita berjaya menamatkan latihan bagi sesi kali ini sejak dimulakan pada 11 April lalu.

Sementara itu, Perajurit Muda Akademik Terbaik Norashikin Mazlan, 22, berkata, minat dalam aktiviti lasak membuatkan dia memilih tentera sebagai kerjayanya.

“Walaupun mempunyai Diploma Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, saya meletakkan pendirian untuk terus berkhidmat dalam bidang ini kerana ia sebati dengan jiwa saya.

“Apa yang penting, saya merasai peranan pasukan tentera yang menjadi dinding pertahanan negara adalah satu pengorbanan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Perajurit Muda Jasmani Terbaik Kriner Seris, 21, berkata, dia bersemangat menyertai bidang ketenteraan selepas melihat tanah air negara diceroboh pihak luar semasa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

“Ini membuat darah saya naik dan menimbulkan perasaan geram pada mereka (pengganas). Saya menyertai bidang ini dengan harapan dapat bersama menghapuskan musuh negara yang sesuka hati menceroboh perairan negara.

“Saya berikrar akan berjuang habis-habisan demi negara tercinta ini,” katanya yang juga anak seorang buruh berasal dari Kuching, Sarawak.

Disiarkan pada: October 20, 2014 @ 5:09am
d