mutakhir

Perlukan keluarga, bukan institusi

Kuala Lumpur: Satu modul berkaitan penjagaan anak bermula kelahiran hingga dewasa perlu diwujudkan bagi memberi lebih pemahaman kepada ibu bapa dalam aspek pemeliharaan anak masing-masing.

Pengasas Rumah Amal Baitul Fitrah Rawang, Selangor Masliza Abu Bakar berkata, penggunaan modul berkenaan perlu diperluaskan pada peringkat permulaan pasangan muda mendirikan alam rumah tangga supaya dapat memelihara institusi kekeluargaan di negara ini yang dilihat semakin lemah.

“Modul ini perlu digunakan untuk memotivasikan ibu bapa terutama pasangan muda supaya mereka tahu bagaimana cara dan pentingnya menjaga anak masing-masing.

“Ini bagi mengelakkan anak mereka kurang didikan dan kasih sayang atau lebih malang lagi terbiar memandangkan kandungan dalam kursus praperkahwinan masih tidak mampu menjadikan institusi kekeluargaan negara ini utuh.

“Sebagai permulaan, modul ini perlu diselitkan dalam kandungan kursus praperkahwinan untuk mengingatkan peranan masing-masing memandangkan masalah perceraian menjadi punca anak-anak terbiar,” katanya bagi mengulas kes pengabaian anak yang semakin membimbangkan pada masa kini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kes pengabaian pasangan yang bercerai mempunyai kemampuan, tetapi menyerahkan tiga anak mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas masing-masing berkahwin baru.

Bapa kanak-kanak itu yang mendapat hak penjagaan memberikan alasan tidak sanggup memelihara kerana kenakalan tiga anaknya itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Masliza berkata, setiap tahun pihaknya menerima sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak yang terbabit dengan kes pengabaian dan terbiar.

“Banyak kes diterima berpunca daripada perceraian dan kemiskinan. Saya anggap mereka yang tidak mahu zuriat mereka adalah ibu bapa yang bermasalah dan ini jelas menunjukkan institusi kekeluargaan kita masih lemah.

“Jadi kerajaan mahupun pihak berkaitan perlu melakukan sesuatu termasuk mewujudkan mekanisme baru bagi menangani kes seumpama ini daripada berulang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Pengasas Yayasan OrphanCARE Azra Banu berkata, tumbesaran kanak-kanak memerlukan sistem sokongan daripada masyarakat dan kerajaan untuk melahirkan generasi masa depan yang serba boleh.

“Kanak-kanak perlukan keluarga bukannya institusi. Memang benar mana-mana institusi berniat murni untuk membela anak berkenaan, tetapi realitinya tak boleh beri kasih sayang seperti sebuah keluarga.

“Kebanyakan kanak-kanak di institusi kurang kasih sayang ini akan memberi kesan kepada kemahiran sosial dan akademik mereka. Apabila meningkat dewasa kelak, mereka ini seperti sesat di tengah-tengah hidup bermasyarakat.

“Sebab itu ibu bapa jika ada masalah sekalipun jangan abaikan anak-anak, sekurang-kurangya jika tak mampu minta bantuan sementara dengan ahli keluarga mahupun dapatkan kauseling dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi mengelakkan anak menjadi mangsa pengabaian,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2014 @ 5:09am
d