mutakhir

Guni syabu Ethiopia

Kuala Lumpur: Sindiket dadah antarabangsa didapati semakin berani apabila cuba menyeludup 37 kilogram (kg) dadah syabu diisi di dalam beberapa guni melalui penerbangan terus dari negara Ethiopia, Afrika.

Lebih mengejutkan apabila dadah terbabit yang diisi di dalam kargo pesawat langsung tidak disembunyikan di dalam komponen atau bagasi seperti kebiasaan dilakukan.

Semua dadah syabu diseludup bernilai hampir RM5 juta mengikut harga pasaran itu mampu meningkat menjadi RM20 juta sekiranya diseludup masuk ke negara jiran Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbabit dikesan turut cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mendaftarkan kargo berisi dadah itu atas alamat palsu di negara ini.

Menurutnya, kejayaan merampas dadah itu adalah hasil tangkapan polis terhadap 11 suspek dipercayai ahli sindiket dadah di sekitar ibu kota pada 11 Oktober lalu.

“Ahli sindiket didalangi warga Nigeria itu yang disoal siasat dikesan cuba menyeludup kargo berisi syabu menggunakan alamat sebuah syarikat disyaki palsu di ibu negara.

“Bagaimanapun Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) dibantu Unit Anjing Pengesan K-9 berjaya menghidu penghantaran itu dan merampas dadah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 malam kelmarin,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 5:07am
d