mutakhir

Patah dua cubaan seludup bahan api

Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan empat individu menyeludup keluar bahan api dalam dua kes berasingan membabitkan nilai keseluruhan RM498,000 di sekitar perairan Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua kes itu membabitkan penyeludupan petrol dan diesel yang berjaya ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Operasi Paradise, Jumaat lalu.

“Dalam kes pertama kira-kira jam 5.30 petang, sepasukan anggota PPM melakukan rondaan di perairan Ice Box menahan sebuah bot kumpit dinaiki tiga lelaki berusia 20 hingga 50 tahun untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa 14,000 liter diesel, 1,000 liter petrol dan 11 tong gas tanpa sebarang dokumen sah,” katanya pada sidang media di Pangkalan PPM Tawau, semalam.

Hadir sama Komander PPM Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Madun dan Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah.

Beliau berkata, semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes kedua dilaporkan di perairan Tawau pada jam 12.25 tengah hari kelmarin apabila pemeriksaan sebuah bot menemui 6,000 liter diesel dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan manakala bahan api berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini menggiatkan usaha memantau pergerakan penyeludupan membabitkan penggunaan bot atau kapal dagang yang banyak ditemui di sekitar perairan daerah ini.

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 5:09am
d