mutakhir

Gadis penyamun terkepung

Batu Pahat: Seorang gadis tidak sempat menikmati hasil jenayahnya apabila dia dikepung dan ditangkap penduduk kira-kira 10 minit selepas menyamun seorang wanita warga emas di Kampung Parit Bengkok, Parit Raja, Jumaat lalu.

Terdahulu, suspek yang berusia 20 tahun itu datang ke rumah ibu tunggal berusia 66 tahun terbabit pada jam 1.15 petang dengan mendakwa kononnya mahu mengambil kuih yang ditempahnya beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa yang berseorangan di rumah terus mempelawa suspek masuk sebelum dia menyiapkan bungkusan kuih seperti diminta gadis terbabit.

Katanya, dalam masa sama, mangsa turut ke dapur untuk menyediakan minuman kepada suspek dan kesempatan itu diambil oleh gadis terbabit untuk bertindak menyamunnya.

“Suspek mengekori mangsa ke dapur dan mencapai sebilah pisau pemotong sayur sebelum menghampiri dan mengacunya ke perut mangsa sambil mengarahkan tidak membuat bising.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan semua wang tunai dan barang kemas miliknya selain mengugut akan mencederakannya sekiranya cuba melawan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Din berkata, suspek yang berjaya mengambil beberapa barang kemas serta sejumlah wang tunai milik mangsa kemudiannya melarikan diri dengan berjalan ke arah Jalan Kluang.

Beliau berkata, antara barang kemas diambil gadis terbabit ialah dua utas jam tangan, gelang tangan jenis zulian, gelang tangan manik, 11 kerongsang serta wang tunai sebanyak RM312.

“Sejurus suspek keluar dari rumah, mangsa menjerit meminta pertolongan jirannya untuk menangkapnya yang pada ketika itu masih berada di kawasan berdekatan.

“Suspek terus melarikan diri ke dalam kebun sawit tidak jauh dari situ apabila menyedari perbuatannya diketahui penduduk kampung. Beberapa minit kemudian, suspek ditangkap sedang bersembunyi di dalam semak selepas dikepung orang ramai,” katanya.

Penduduk turut merampas semula barangan kemas mangsa yang dilarikan itu sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Din berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

“Kita yakin gadis berkenaan bertindak sendirian, tetapi siasatan menyeluruh sedang dilakukan,” katanya memberitahu suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 5:09am
d