mutakhir

Najib, Jokowi setuju selesai isu sempadan

Jakarta: Malaysia dan Indonesia bersetuju bahawa isu sempadan maritim antara kedua-dua negara yang tertangguh lama dan sering menemui kebuntuan pada setiap rundingan perlu diselesaikan secepat mungkin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Katanya, persetujuan peringkat tertinggi itu tercapai pada pertemuan beliau dengan Presiden baru Indonesia Joko Widodo, yang memulakan tugas hari pertamanya sebagai presiden ketujuh republik itu selepas mengangkat sumpah jawatan dalam satu istiadat di Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi negara itu.

“Saya sudah menyatakan bahawa satu masalah yang menjadi hambatan antara Indonesia dan Malaysia adalah isu sempadan terutama sekali sempadan maritim yang melibatkan banyak kawasan khususnya Sulawesi Selatan atau dikenali di Indonesia sebagai Ambalat.

“Saya sudah mencadangkan kaedah saya iaitu dengan melantik ‘chief negotiator’ (ketua perunding) iaitu Malaysia dan Indonesia masing-masing melantik seorang negotiator,” katanya kepada delegasi media Malaysia pada akhir lawatan beliau selama dua hari di sini.

Perdana Menteri berkata, melalui kaedah baharu itu, setiap cadangan dikemukakan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk diselesaikan terus dan jika memerlukan mandat ‘pengarahan politik’ yang melibatkan pucuk pimpinan kerajaan, ia boleh dilaksanakan.
- BERNAMA

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 5:10am
d