mutakhir

Kasih orang luar

Kuala Lumpur: Usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mencari 10 waris kanak-kanak di akhbar ini semalam, mendapat reaksi positif apabila ramai pihak tampil menghubungi jabatan itu kerana berminat mengambil mereka sebagai anak angkat.

Bagaimanapun, beberapa proses mengikut Akta Kanak-kanak 2001 perlu dipatuhi sebelum anak itu diserahkan kepada keluarga angkat atau pelihara yang dipilih panel di ibu pejabat JKM.

Timbalan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mazura Ngah Abdul Manan berkata, selepas menghebahkan pencarian ibu bapa kandung atau waris di akhbar, pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang luar yang bersimpati dengan nasib 10 kanak-kanak berusia dua bulan hingga lapan tahun yang sebilangan besar daripada mereka ditinggalkan ibu bapa di hospital.

“Peringkat pertama ini, JKM menanti kemunculan waris selama sebulan bagi membantu jabatan membuat keputusan.

“Tempoh ini memberi ruang kepada pelindung menyediakan laporan mengandungi maklumat latar belakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seseorang kanak-kanak yang dapat membolehkan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat keputusan demi kepentingan kanak-kanak terbabit.

“Namun, jika laporan itu menyatakan kanak-kanak tidak sesuai dikembalikan kepada keluarga, kanak-kanak berkenaan diletakkan dalam jagaan seseorang yang layak dan sesuai selama tiga tahun atau sehingga mereka berumur 18 tahun berdasarkan Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Menurut Mazura, orang yang layak dan sesuai ini biasanya datang daripada individu yang dipersetujui keluarga sekiranya tidak bersetuju, kanak-kanak akan ditempatkan di institusi JKM selama tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun.

“Bagi kes ibu bapa atau waris tidak muncul, kanak-kanak akan diletakkan dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa pelihara didapati sesuai oleh Ketua Pengarah selama dua tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun.

“Kebiasaannya, ibu bapa pelihara ini adalah individu yang berada dalam senarai pertimbangan panel penempatan anak pelihara,” katanya.

Individu berminat boleh membuat permohonan melalui pautan permohonan anak pelihara di laman web www.jkm.gov.my.

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 5:10am
d