mutakhir

'Peliknya, macam mana boleh tahu...'

Kuala Lumpur: “Sebenarnya tak ada masalah serius pun cuma salah faham antara pihak saya dan mereka. Apa pun saya tak dapat komen lanjut buat masa ini,” kata pelakon Sherry Ibrahim mengenai ura-ura mengatakan dia bakal disaman tidak lama lagi, dipercayai melanggar kontrak dengan sebuah syarikat pengeluar produk kecantikan.

Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 31, berkata, dia terkejut kerana perkara itu adalah masalah dalaman yang tidak diketahui banyak pihak.

“Peliknya, macam mana boleh tahu sebab hal ini tak ramai yang tahu? Kes ini pun masih dalam perbincangan antara peguam.

“Saya tak dapat nak komen lebih-lebih sekarang sebab ia sudah jadi kes undang-undang. Apa-apa nanti apabila keadaan mengizinkan saya akan kongsikan dengan semua,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Sumber terdekat mendakwa, pelakon yang kini sibuk dengan penggambaran siri Keluarga Karaoke itu berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang kerana melanggar kontrak dengan sebuah syarikat pengeluar produk kecantikan.

Difahamkan, keadaan itu tercetus kerana beberapa perkara yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak pada awal perjanjian tidak dilaksanakan dengan baik oleh pelakon itu pada tahun ini.

Bagaimanapun, setakat ini masih tiada butiran terperinci yang diperoleh mengenai masalah sebenar antara Sherry dengan produk terbabit sehingga membawa pada tindakan undang-undang.

Sherry berkata, dia tidak dibenarkan oleh peguam untuk mengulas lanjut perkara itu bagi melancarkan proses perbincangan antara kedua belah mengenai kes itu.

“Apa yang saya boleh cakap, saya memang duta produk itu dan kontrak ditandatangani pada tahun ini, tapi sesuatu perkara berlaku di pertengahan jalan. Sebenarnya bukan masalah besar pun cuma ia membabitkan kontrak.

“Memandangkan peguam kedua-dua belah pihak sedang berbincang dan cuba menyelesaikan masalah sebelum apa-apa tindakan diambil. Saya tak nak cakap apa-apa dulu sebab takut pihak di sana terasa hati,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2014 @ 5:10am
d